'Itu bukan cinta tapi trauma', psikologi dedah 5 sebab mudah terpikat pada pasangan toksik


  • Cinta
  • Selasa, 21 Okt 2025

Bagi sesetengah individu cinta menjadi sambungan kepada luka lama yang penuh kesakitan, kawalan dan konflik emosi. — Gambar Hiasan

CINTA sepatutnya menjadi ruang untuk berasa aman, diterima dan disayangi.

Namun, bagi sesetengah individu, cinta menjadi sambungan kepada luka lama yang penuh kesakitan, kawalan dan konflik emosi.

Persoalannya, mengapa ada individu yang membesar dalam keluarga toksik atau dikenali sebagai broken home akhirnya memilih pasangan bersikap toksik juga?

BACA LAGI: 'Effort' luar biasa, lelaki guna AI hasil 'trailer' ala animasi Disney lamar kekasih hati

BACA LAGI: Cinta berputik sejak remaja, suami isteri pencipta Barbie dan Hot Wheels ubah dunia permainan kanak-kanak

Walaupun sedar akan risikonya, mengapa tetap terjebak dalam hubungan menyakitkan?

Perkara itu bukan sekadar soal pilihan, tetapi berkait rapat dengan corak pemikiran dan emosi terbentuk sejak kecil.

Menurut penulis psikologi dan penceramah, Aiman Amri dalam hantaran di media sosial, terdapat beberapa sebab mengapa kitaran hubungan toksik sering berulang.

Berikut lima penjelasan psikologi utama yang dikupas:

1. Kasih sayang disamakan dengan konflik emosi

Individu yang membesar dalam persekitaran penuh tekanan seperti jeritan, kawalan atau kasih sayang bersyarat secara tidak sedar belajar mengaitkan kasih sayang dengan kekacauan emosi.

Apabila mereka bertemu pasangan yang tenang dan menyayangi secara sihat, hubungan itu terasa asing.

Sebaliknya, pasangan toksik memberikan rasa familiar seolah-olah kembali kepada suasana zaman kanak-kanak.

"It feels like home," jelas Aiman merujuk kepada bagaimana otak manusia mencari semula emosi yang dikenali, walaupun menyakitkan.

Trauma masa lalu kadang membuat kita kembali pada hubungan yang salah. — Gambar hiasan

2. Cuba menyembuh luka lama melalui hubungan baharu

Tanpa sedar, sesetengah individu tertarik kepada pasangan yang menyerupai ibu atau bapa mereka yang dahulu menyakitkan.

Ini kerana mereka berusaha 'memperbetulkan' kisah lama dengan harapan kali ini mereka akan cukup disayangi.

Namun, percubaan ini selalunya membawa kepada kitaran penderitaan yang berulang, bukan penyembuhan.

3. Harga diri rendah akibat trauma awal

Pengalaman dibesarkan dalam suasana yang merendahkan seperti sering dibandingkan, dipersalahkan atau diabaikan boleh meninggalkan kesan terhadap harga diri.

Apabila dewasa, mereka cenderung menerima layanan buruk kerana berasa mereka tidak cukup baik untuk dihargai.

Sebahagian daripada mereka juga secara tidak sedar 'menghukum' diri dengan kekal dalam hubungan menyakitkan.

Hubungan toksik sering mengulangi pola lama iaitu konflik, penyesalan, kemudian pelukan sementara. — Gambar hiasan

4. Takut ditinggalkan lebih daripada takut disakiti

Mereka yang pernah mengalami kehilangan kasih sayang, terutamanya daripada keluarga, mungkin mengalami ketakutan ditinggalkan yang sangat mendalam.

Disebabkan itu, mereka lebih sanggup bertahan dalam hubungan toksik daripada menghadapi perpisahan.

“Anda mungkin menyakiti saya, tetapi jangan tinggalkan saya," itulah bisikan emosi yang memerangkap mereka.

5. Tidak belajar sempadan sihat dalam hubungan

Apabila sejak kecil privasi tidak dihormati, emosi diketepikan, atau dipaksa sentiasa mengalah kepada orang lain, individu tersebut membesar tanpa kefahaman tentang batasan sihat dalam perhubungan.

Akibatnya, mereka mudah keliru antara kawalan dan perhatian, serta antara kasih sayang dan manipulasi.

Ini menjadikan mereka lebih rentan untuk kembali kepada pasangan yang merosakkan emosi.

Menjengah ke ruangan komen, beberapa pengguna media sosial turut berkongsi pengalaman yang sama.

Antaranya, Hanarsha Firdaus mengakui pernah bercinta dengan lelaki yang sangat mirip dengan figura toksik dalam keluarganya.

“Saya cepat sedar dan undur diri. Kalau teruskan, saya hanya ulang balik sejarah sama untuk anak-anak saya,” tulisnya.

Kini, beliau memilih untuk hidup dalam perkahwinan yang lebih tenang bersama suami yang menghormati batas dan emosi.

Sementara itu, CikNin Bungatulip menceritakan bagaimana beliau keluar daripada perkahwinan penuh penderaan walaupun ditekan oleh keluarganya untuk bertahan.

“Walaupun ayah suruh bertahan, doktor saya kata jangan dengar nasihat daripada orang yang pernah normalisasikan penderaan,” katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram