SEBUAH kisah sedih dari Aceh, Indonesia kini tular di media sosial, mengejutkan ramai pengguna internet.
Seorang isteri bernama Safitri diceraikan suaminya hanya dua hari sebelum lelaki itu dilantik sebagai Pegawai Pemerintah Perjanjian Kerja (PPPK).
Lebih memilukan, baju dipakai suami sewaktu pelantikan dibeli hasil titik peluh Safitri menjual sayur dan cili.
BACA LAGI: Pottery DIY hasilkan item dekorasi rumah, perkakas dapur rekaan estetik, unik
BACA LAGI: 'Rumah paling buruk' di AS kini berubah jadi mahligai 'pink' bernilai RM628,000
Kisah itu mula mendapat perhatian selepas Safitri berkongsi pengalamannya di Facebook melalui akaun Safitri Alshop Aceh, manakala rakannya, Rita Sugiarti Ricentil Panggabean, memuat naik video perpisahan berdurasi satu minit 30 saat.
Dalam video itu, Safitri kelihatan menaiki van L300, dibantu jiran-jiran yang prihatin memindahkan barang-barang rumahnya untuk dibawa pulang ke kampung halaman di Aceh Selatan.
Suasana sedih begitu terasa, diperkuat dengan ucapan perpisahan Rita, "Selamat jalan sahabat kami, Fitri. Semoga bahagia segera kau dapati."
Video tersebut tular dengan lebih 600,000 tontonan dan dibanjiri ratusan komen yang memberi sokongan serta doa agar Safitri tabah menghadapi dugaan tersebut.
Safitri menjelaskan kronologi kejadian melalui beberapa hantaran di Facebook.
Beliau mengesahkan bahawa perceraian berlaku pada 15 Ogos, manakala suaminya dilantik sebagai PPPK pada 17 Ogos lalu.
Dalam luahan hatinya, Safitri mendedahkan pengorbanannya seolah tidak dihargai.
"Saya sudah menuntut keadilan, kerana telah melapor ke sana sini. Tiada hasil, hanya dipandang sebelah mata. Baju yang dipakai untuk pelantikan itu dibeli dengan hasil jualan sayur dan cili saya untuk suami. Tapi saya tidak sangka dia berbuat begini kepada saya dan anak-anak," katanya.
Safitri turut menegaskan bahawa video perpisahannya tular atas izinnya, sebagai cara agar orang ramai mengetahui kisahnya.
Dalam satu pesanan yang menjadi rujukan warganet, beliau menekankan kepentingan menghargai pasangan yang menemani dari awal.
"Tepat pada 15 Ogos 2025 saya diceraikan, dan 17 Ogos 2025 dia menerima jawatan. Tuan yang terhormat, harta, pangkat atau jawatan tidak dibawa mati. Hargailah wanita yang menemani anda dari kosong sehingga mengantarkan anda ke jalan kejayaan, walaupun dibalas dengan perceraian," ujarnya.
Walaupun dikhianati, Safitri menunjukkan ketabahan luar biasa.
Beliai tidak malu kembali ke rumah ibu bapa bersama kedua anaknya.
Bagi Safitri, yang penting adalah telah berjuang sekuat tenaga untuk keluarga, walaupun pada akhirnya merasa dimanfaatkan.
Dalam momen terakhir sebelum meninggalkan rumah yang pernah didiaminya, Safitri sempat meminta maaf kepada mertua, satu tindakan yang menunjukkan kebesaran hati.
"Sejahat mana pun aku dan seberapa dizalimi pun aku, sebelum pulang ke Aceh Selatan membawa anak-anak, aku datangi mamak (ibu) dan ayahmu (ayah) dan rela meminta maaf duluan. Walaupun selepas itu, tiada seorang pun yang melihat kami pergi. Kami dibantu jiran-jiran yang baik, sedangkan kalian tidak peduli dan tiada belas kasihan sedikit pun kepada anak-anakku," luah beliau. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
