
SIAPA menyangka, boneka fesyen, Barbie dan kereta mini Hot Wheels yang mewarnai zaman kanak-kanak jutaan orang di seluruh dunia sebenarnya tercipta daripada pasangan suami isteri yang saling melengkapi iaitu Ruth Handler dan Elliot Handler.
Pertemuan mereka bermula sejak zaman persekolahan. Ruth jatuh hati pada seorang lelaki, Elliot yang penuh idea dan berjiwa kreatif.
Hubungan itu tidak terhenti di bangku remaja, sebaliknya diteruskan ke jinjang pelamin pada 1938.
BACA LAGI: Katil berasingan boleh meretakkan rumah tangga, 5 sebab suami isteri wajib tidur bersama
BACA LAGI: Nenek sempoi 'join' anak main 'skateboard', tak kekok pamer gaya bebas
Ruth Handler merupakan pengasas bersama Mattel dan wanita yang mencipta boneka Barbie pada 1959.
Selepas berkahwin, mereka berhijrah ke Los Angeles. Di situlah kisah cinta mereka semakin berkembang bukan sekadar sebagai pasangan hidup, tetapi juga rakan kongsi perniagaan.
Ruth dan Elliot bersama seorang rakan, Harold Matt Matson menubuhkan syarikat permainan, Mattel pada 1945.
Nama itu diambil daripada gabungan nama 'Matt' dan 'El' (Elliot). Dari bengkel kecil, lahirlah syarikat yang kelak menjadi gergasi permainan dunia.
Ruth terkenal sebagai pemikir berani yang melihat jauh ke depan, manakala Elliot tekun mencipta dan mereka bentuk.
Pasangan ini bagaikan dua jiwa dan satu visi. Pada 1959, Ruth melahirkan idea Barbie, boneka dewasa pertama di pasaran yang dinamakan sempena anak gadisnya, Barbara.
Beberapa tahun kemudian, Ken diperkenalkan sempena nama anak lelaki mereka, Kenneth.
Sementara itu, Elliot pula menghadiahkan dunia dengan Hot Wheels pada 1968.
Reka bentuknya yang unik dan roda laju menjadikan kereta mini itu bukan sekadar mainan, malah koleksi bernilai tinggi hingga kini.
Walaupun berjaya mencipta ikon global, perjalanan mereka tidak selamanya mudah.
Kontroversi kewangan memaksa Ruth dan Elliot meninggalkan Mattel pada 1975.
Ruth juga berdepan kes undang-undang dan menjalani khidmat masyarakat.
Ruth Handler (kanan) dan Elliot Handler (kiri) merupakan pasangan suami isteri yang saling melengkapi.
Namun, semua itu tidak memisahkan mereka berdua. Pasangan ini terus setia berdiri bersama, membuktikan bahawa cinta sejati bukan hanya ketika bahagia, tetapi juga ketika diuji.
Selamat tinggal dua pencipta legenda
Ruth Handler meninggal dunia pada 2002 pada usia 85 tahun akibat kanser.
Sembilan tahun kemudian, dunia permainan sekali lagi kehilangan tokoh besar apabila Elliot Handler menghembuskan nafas terakhir pada 2011 di usia 95 tahun.
Kini, nama Barbie dan Hot Wheels kekal sebagai simbol permainan ikonik sepanjang zaman.
Namun, di sebalik popularitinya, ada cerita cinta dua insan yang percaya pada impian, saling menguatkan dan akhirnya meninggalkan legasi yang tidak akan dilupakan. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram