DUA inisiatif baharu diperkenalkan, buku berjudul Living Well, Living Longer dan aplikasi mudah alih ICanCare dalam usaha membantu memperkasa wanita yang berjuang melawan kanser payudara
Buku yang menyatukan ilmu, akses dan serta sokongan komuniti di hujung jari itu menampilkan potret serta catatan pengalaman pesakit, penjaga, profesional kesihatan dan aktivis terlibat dalam perjuangan melawan kanser.
Setiap kisah memaparkan kekuatan, ketabahan dan harapan untuk terus hidup dengan penuh makna.
BACA LAGI: 'Effort' luar biasa, lelaki guna AI hasil 'trailer' ala animasi Disney lamar kekasih hati

Aplikasi ICanCare boleh dimuat turun secara percuma di platform mudah alih.
Presiden Negara Novartis Malaysia, Sanjeev Balachandran berkata, kedua-dua inisiatif itu dilancarkan untuk memperkukuh pendekatan holistik dalam penjagaan kanser payudara.
“Melalui buku dan aplikasi ini, kami mahu memperluaskan kesedaran dan menyediakan bimbingan emosi dan maklumat setempat supaya setiap pesakit mempunyai sokongan di hujung jari mereka,” katanya.
Sementara itu, Timbalan Pengarah Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia (NCSM), Dr. Vignesvari Subramaniam menyifatkan buku tersebut sebagai simbol suara dan keberanian yang selama ini jarang diketengahkan.
“Selama ini, kanser sering dibicarakan dalam 'bisikan'. Tetapi para pesakit kini bukan sekadar bertahan, malah mereka bangkit, membina semula kehidupan dan mendefinisikan semula makna kesejahteraan. Buku ini meraikan keberanian itu,” katanya.
Lebih sekadar diagnosis
Bagi Dr. Vignesvari, kanser payudara bukan sekadar isu perubatan, tetapi perjalanan emosi yang mengubah keluarga, persahabatan dan pandangan hidup seseorang.
“Apabila pesakit membaca kisah-kisah dalam buku ini, mereka akan melihat diri sendiri di dalamnya. Mereka sedar bahawa mereka tidak keseorangan dan itulah langkah pertama menuju penyembuhan,” ujarnya.

Bengkel penulisan jurnal itu membantu peserta memahami dan menghayati perjalanan ketabahan yang dikongsi dalam buku tersebut.
Walaupun rawatan moden banyak memperbaiki kadar kelangsungan hidup pesakit, Malaysia masih berdepan cabaran besar dalam pengesanan awal.
Laporan Malaysia National Cancer Registry 2017 hingga 2021 menunjukkan lebih 50 peratus kes kanser payudara dikesan pada peringkat lewat, sekali gus menjejaskan peluang untuk pulih sepenuhnya.
Kadar kelangsungan hidup selama lima tahun di Malaysia dianggarkan sekitar 67 peratus, berbanding 80 peratus hingga 90 peratus di negara maju.
Pakar onkologi klinikal dan penasihat teknikal Persatuan Kebajikan Kanser Payudara Malaysia (BCWA), Dr. Mastura Md. Yusof berkata, aspek sokongan emosi selepas rawatan sering diabaikan.
“Ramai pesakit berasa hilang arah selepas rawatan tamat. Inilah ruang yang diisi oleh advokasi dan perkongsian pengalaman kerana ia memberi kekuatan baharu kepada pesakit,” jelasnya.
Aplikasi ICanCare, yang boleh dimuat turun secara percuma dibangunkan bersama kumpulan advokasi untuk membantu pesakit dan penjaga mendapatkan maklumat sahih, kaunseling psikososial serta panduan penjagaan selepas rawatan.
Bagi Jasmine Wong, yang menjaga ibunya pesakit kanser payudara tahap tiga, aplikasi itu sangat membantu dan memberi kelegaan besar kepadanya.
“Dulu saya habiskan masa berjam-jam mencari maklumat bermula dari kesan rawatan, pemakanan hingga penjagaan selepas kemoterapi. Kini semuanya ada dalam satu aplikasi. Ia juga memberi panduan buat penjaga seperti saya,” katanya.
Menariknya, versi digital buku Living Well, Living Longer turut disertakan dalam aplikasi ICanCare membolehkan pesakit di luar bandar atau mereka yang tidak dapat hadir ke sesi sokongan komuniti mengakses kisah inspirasi ini pada bila-bila masa.
Dr. Vignesvari berkata, gabungan penceritaan dan teknologi ini menandakan fasa baharu dalam penjagaan kanser.
“Ia bukan sekadar projek, tetapi usaha hidup yang berkembang dengan setiap kisah baharu yang dikongsi dan setiap pesakit yang tampil mencari sokongan,” katanya.
Dr. Mastura menambah, mesej utama kedua-dua inisiatif itu ialah harapan.
“Hidup lebih lama bukan hanya tentang rawatan, tetapi tentang erti hidup yang lebih mendalam iaitu keberanian untuk hidup dengan harapan dan maruah,” katanya. — The Star/ MING TEOH
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
