
TAMAN Tasik Titiwangsa kembali menjadi tumpuan warga kota kali ini dengan wajah lebih segar dan penuh warna sempena KL Festival Park, acara tahunan yang meraikan seni, budaya dan kelestarian alam.
Di tengah-tengah festival itu, satu tarikan menonjol mencuri perhatian iaitu lima landskap Titiwangsa, koleksi lima reka bentuk taman yang membawa pengunjung menelusuri cerita warisan serta identiti Malaysia.
Bukan sekadar ruang hijau, lima rekaan ini adalah manifestasi falsafah hidup dan akar budaya yang diterjemahkan dalam bentuk seni taman.
Setiap landskap membawakan konsep unik daripada warisan serantau hingga ke desa Melayu, seni bina Johor hingga ke kehalusan budaya Terengganu.
Semuanya dirancang dengan nilai lestari dan elemen moden yang berpadu indah.
Keindahan taman “Warisan Serantau” memaparkan keseimbangan budaya dan alam semula jadi.
1. Warisan Serantau
Harmoni Ekologi dan Kearifan Alam
Membuka langkah pertama, Warisan Serantau mengetengahkan konsep keseimbangan antara pembangunan dan ekologi.
Pokok bakau dan buluh menjadi simbol ketahanan serta kebijaksanaan warisan tempatan yang diwarisi turun-temurun.
Lima prinsip reka bentuk dari identiti budaya tempatan hingga penggunaan bahan lestari menjadikan taman ini seolah-olah cerminan Nusantara yang hidup di tengah bandar.
Ia menzahirkan mesej bahawa pembangunan moden tidak harus menenggelamkan akar budaya dan hubungan manusia dengan alam.
‘Anjung Sari Desa’ menghidupkan nostalgia kampung dengan elemen gotong-royong dan kebersamaan.
2. Anjung Sari Desa
Kenangan kampung menghidupkan jiwa
Melewati ruang Anjung Sari Desa, pengunjung seakan dibawa pulang ke halaman kampung tempat kenduri diadakan, anak-anak bermain dan jiran bergotong-royong menyiapkan juadah bersama.
Di sini, suasana kampung dihidupkan melalui elemen seperti bangku kayu, tempayan air, bunga tanjung dan kenanga, serta tanaman ekonomi seperti getah dan sawit.
Reka bentuk sederhana, namun setiap sudut bercerita tentang kasih, kebersamaan dan nilai kemanusiaan yang semakin jarang ditemui dalam kehidupan moden.
"Di halaman desa ini kenangan bertaut, kehidupan sederhana namun penuh jiwa," begitulah roh yang dirasakan oleh pengunjung ketika melangkah ke dalamnya.
Hijau Berakaran Warisan menyerlahkan nilai spiritual dan seni Islamik dalam reka bentuk moden.
3. Hijau Berakaran Warisan
Bandar pintar yang berjiwa tradisi
Taman ini menonjolkan identiti Putrajaya sebagai bandar masa depan yang berpaksikan warisan budaya.
Hijau Berakaran Warisan menggabungkan prinsip Habluminallah, Habluminannas dan Habluminal‘alam hubungan dengan Tuhan, manusia serta alam.
Tumbuhan tempatan yang digunakan bukan sekadar hiasan, tetapi mewakili nilai sejarah dan kegunaan masyarakat terdahulu.
Struktur geometrik berinspirasikan seni Islam serta corak flora tempatan menjadikan taman ini seimbang antara spiritual dan moden.
Ia seolah-olah taman doa dan refleksi ruang untuk menghargai ciptaan Tuhan sambil menghayati seni bina bangsa.
Salasilah Lima Emas menampilkan keanggunan rumah tradisional Limas Johor dalam gaya kontemporari.
4. Salasilah Lima Emas
Tradisi Johor dalam tafsiran kontemporari
Tradisi Johor dalam tafsiran kontemporari
Dibangunkan oleh Majlis Bandaraya Pasir Gudang, Salasilah Lima Emas mengangkat keunikan seni bina Lima Johor.
Rumah tradisi berbumbung lima rabung yang melambangkan nilai keagungan, keamanan, kesopanan, keselamatan dan kesejahteraan.
Melalui elemen moden seperti 'kinetic perforated louvers', buluh dan tenunan Benang Johor, taman ini menampilkan warisan dalam bentuk baharu yang progresif.
Gelombang warna emas di pintu masuk menyerlahkan simbol kemegahan dan identiti negeri selatan itu.
Bunga tropika, tanaman boleh dimakan dan hasil hutan disusun harmoni, membentuk landskap yang bukan hanya cantik, tetapi penuh makna.
Revitalizing of Terengganu Cultural Village menenangkan jiwa dengan sentuhan seni halus dan flora tempatan.
5. Revitalizing of Terengganu Cultural Village
Seni, alam dan kelestarian menyatu
Sebagai penutup siri lima landskap, taman ini membawa semangat pantai timur yang lembut dan berseni.
Revitalizing of Terengganu Cultural Village menggabungkan elemen seni bina tradisional, ukiran halus dan flora tempatan untuk mencipta ruang yang damai dan menyatukan manusia dengan budaya.
Bahan kitar semula dan tenaga solar digunakan bagi memastikan reka bentuknya mesra alam.
Setiap sudut direka agar nyaman dengan pencahayaan semula jadi, aliran udara yang lembut dan suasana redup mengundang tenang.
Ia bukan sekadar taman, tetapi refleksi kehidupan masyarakat Terengganu yang halus budi dan tinggi nilai estetika.
Khaleed (kiri) dan Farah (kanan) terpukau melihat dekorasi bunga yang ada di KL Festival Park.
Bagi pengunjung muda seperti Farah Huda, 24, dan Khaleed Adib Haikal, 24, yang datang dari Kuala Lumpur, pengalaman mereka di KL Festival Park lebih daripada sekadar bergambar di taman.
"Bunga-bunga di sini lain daripada biasa, ada yang tak dijual di kedai. Warna dan susunannya cantik, rasa tenang bila tengok," kata Farah.
Khaleed pula menambah,
"Saya bukan peminat bunga pun, tapi bila tengok dekorasi dan suasana ini, memang tak sangka boleh rasa ‘wow’. Setiap sudut rasa hidup dan menarik perhatian."
Khadijah (kanan) dan Aisyah (kiri) teruja merakam detik indah di taman bertemakan budaya serta kelestarian ini.
Sementara itu, Syahidatul Aisyah, 23 dan Siti Khadijah 23, pula datang tanpa perancangan.
Namun, keindahan landskap membuatkan mereka terpikat.
"Kita datang tak ada mood pun, tapi bila tengok bunga-bunga ni terus rasa bersemangat. Tempat ini ada banyak 'spot' gambar dan tak perlu berebut. View dia memang cantik!" kata Aisyah.
Khadijah menambah sambil tersenyum,
"Gabungan warna bunga dengan tema budaya buat gambar nampak 'alive'. Terima kasih kepada pasukan landskap yang hasilkan ruang secantik ini." — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram