
KADANG-KADANG semangat luar biasa datang daripada jiwa yang pernah terluka.
Itulah terpancar daripada wajah pelajar perempuan dikenali sebagai Fatini ketika ditemui pempengaruh media sosial Boss A SCE dalam satu video TikTok yang kini tular.
Dalam rakaman itu, Fatini kelihatan duduk di hadapan sekolahnya sambil menjawab satu demi satu soalan spontan dengan tenang dan yakin.
Personaliti Fatini mencerminkan kedewasaan jiwa yang jarang dimiliki pada usia muda.
Daripada perbualan ringkas itu, terserlah kisah seorang remaja yang pernah menjadi mangsa body shaming sejak sekolah rendah, namun memilih untuk tidak rebah.
Sebaliknya, beliau menjadikan ejekan dan pandangan negatif orang lain pembakar semangat untuk terus berusaha dan membuktikan bahawa nilai seseorang bukan diukur pada rupa, tetapi pada semangat dan keazaman diri.
Dengan wajah senyuman yang menyembunyikan seribu cerita, Fatini berkongsi cita-cita cukup besar untuk mendapat 11A+ dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan menjadi seorang guru atau ustazah.
Ia demi membalas jasa ibu bapa serta guru yang pernah menyalakan semangat dalam dirinya.
Ketika ditanya tentang cabaran hidup, Fatini mengakui bahawa sering menjadi mangsa body shaming sejak kecil.
Namun, beliau menjadikan hal itu sebagai alasan untuk mengundur diri.
"Kalau buli itu tak ada, cuma saya selalu kena body shamming sejak sekolah rendah," katanya jujur.
Pun begitu, lebih menyentuh hati apabila Fatini mengenang jasa arwah Ustazah Norwati, dikatakan banyak meninggalkan kesan mendalam dalam hidupnya.
"Arwah Ustazah pernah cakap yang saya boleh pergi jauh sebab dulu saya pernah masuk pertandingan syair. Bagaimana sekali pun, jangan pernah rasa diri down.
"Jangan pernah rasa diri terlalu lemah untuk menghadapi semua cabaran," ujar Fatini sambil menyebut nama gurunya dengan penuh rasa hormat.
Kata-kata itu bukan sekadar kenangan, tetapi menjadi pegangan hidupnya sehingga ke hari ini.
Fatini berjanji untuk terus berusaha dan mencapai kejayaan bukan sekadar untuk dirinya, tetapi demi orang-orang yang pernah percaya kepadanya terutama ibu bapa dan guru.
"SPM target 11A plus. Cita-cita saya nak jadi guru."
Fatini turut menambah bahawa kejayaan kelak akan dijadikan hadiah buat ibu dan ayah tercinta membesarkannya dengan penuh kasih sayang, serta sebagai tanda penghargaan kepada guru yang telah kembali ke rahmatullah. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram