
SEJAK kebelakangan ini, peningkatan kes bunuh diri di Malaysia yang dikaitkan dengan perbuatan membuli telah menimbulkan kebimbangan dalam kalangan masyarakat.
Ramai tertanya-tanya, adakah membuli berpunca daripada masalah psikologi atau terbentuk melalui pengalaman hidup?
Buli merupakan satu bentuk tingkah laku kejam yang dilakukan secara berulang dan bertujuan untuk menyakiti atau memperlekehkan orang lain.
BACA LAGI: [VIDEO] Rakyat Malaysia berminat beli rumah di Jepun, ini 5 panduan praktikal boleh cuba!
Ia biasanya menyasarkan individu yang dianggap lebih lemah, lebih muda, berstatus rendah atau berada dalam kedudukan kurang berkuasa daripada si pembuli.
Perbuatan membuli boleh berlaku dalam pelbagai bentuk seperti verbal, fizikal, sosial atau seksual.
Antaranya termasuk mengejek, menghina, menolak, menumbuk, menendang, menyebarkan khabar angin atau mengecualikan seseorang daripada kumpulan.
Dalam konteks moden, gangguan seksual dan buli siber (cyberbullying) turut dikategorikan sebagai bentuk buli yang semakin berleluasa.
Siapa lebih kerap dibuli? Lelaki atau perempuan?
Kajian menunjukkan kedua-dua jantina mempunyai risiko yang hampir sama untuk menjadi mangsa buli.
Kebanyakan kes bermula di sekolah atau di kawasan permainan, namun fenomena ini tidak terhenti di situ.
Orang dewasa juga boleh menjadi mangsa buli tidak kira sama ada di tempat kerja, institusi pengajian tinggi atau di ruang maya.
Di Amerika Syarikat, dianggarkan satu daripada lima kanak-kanak pernah mengalami buli sekurang-kurangnya sekali dalam hidup mereka.
Dari sudut psikologi, pembuli dikatakan kurang mempunyai empati dan tingkah laku prososial.
Mereka cenderung menafsir niat orang lain secara negatif dan berasa terancam walaupun tiada ancaman sebenar.
Sebagai contoh, seorang pekerja lama mungkin berasa terancam apabila rakan sekerja baharu menyertai pasukan.
Lalu, dia mula mengecualikan individu tersebut daripada makan tengah hari bersama kumpulan, menyebarkan gosip atau menjatuhkan imejnya di hadapan majikan.
Sifat itu berpunca daripada rasa tidak yakin dan ketakutan kehilangan kuasa atau status.
Pembuli dilahirkan atau dibentuk?
Menurut pakar psikologi, pembuli tidak dilahirkan kerana mereka terbentuk daripada persekitaran sejak kecil.
Pada usia 2 tahun adalah normal bagi kanak-kanak menunjukkan sifat agresif, seperti memukul atau merosakkan barang.
Namun, jika ibu bapa tidak mendidik dan menegur dengan betul, tingkah laku itu boleh berkembang menjadi tabiat kekal.
Kanak-kanak juga mudah meniru tingkah laku ahli keluarga atau persekitaran sekeliling.
Jika mereka membesar dalam rumah tangga penuh pertengkaran, hukuman fizikal atau kekasaran, mereka mungkin menganggap perbuatan itu sebagai sesuatu yang normal.
Selain itu, pengaruh media seperti muzik, permainan video dan kandungan hiburan yang memuliakan keganasan turut memainkan peranan dalam membentuk persepsi bahawa agresif adalah cool atau satu bentuk kekuatan.
Rakan sebaya juga memberi kesan besar apabila kanak-kanak menyertai kumpulan membuli, mereka terdorong melakukan perkara sama demi diterima.
Mengapa pembuli membuli?
Tingkah laku buli sering dilakukan untuk meningkatkan rasa berkuasa atau superior terhadap orang lain.
Sesetengah pembuli melakukannya kerana ia pernah memberikan mereka hasil seperti perhatian, pengaruh atau kawalan.
Ada juga yang bergelut dengan masalah kemarahan dan kawalan diri, lalu menjadikan buli sebagai cara melepaskan tekanan.
Bolehkah pembuli berubah?
Jika tidak dibimbing sejak kecil, kanak-kanak yang membuli berpotensi menjadi pembuli dewasa.
Mereka mungkin menunjukkan tingkah laku sama di tempat kerja, dalam hubungan sosial atau rumah tangga.
Golongan itu juga lebih cenderung terlibat dalam keganasan domestik, road rage dan pelbagai bentuk pencerobohan lain.
Apabila mereka membesarkan anak-anak dalam suasana penuh buli, kitaran ini akan berulang dan melahirkan generasi baharu pembuli.
Buli siber ialah bentuk baharu
Buli siber mempunyai impak yang tidak kurang hebat kerana internet memberikan ruang anonim kepada pembuli untuk menyebar fitnah, menyamar atau mengintip mangsa tanpa perlu berhadapan secara fizikal.
Kesannya boleh menjadi sangat mendalam terhadap kesihatan mental mangsa, termasuk kemurungan, tekanan emosi dan keinginan untuk mengasingkan diri.
Peranan ibu bapa dalam membendung buli
Ibu bapa memainkan peranan penting dalam mencegah dan mengesan tanda awal tingkah laku membuli.
Antara langkah boleh diambil:
- Menunjukkan contoh tingkah laku berempati dan hormat.
- Memberi perhatian terhadap perubahan emosi atau tingkah laku anak.
- Menggalakkan komunikasi terbuka supaya anak berani berkongsi masalah.
- Tidak menggunakan kekerasan sebagai bentuk disiplin.
- Memantau penggunaan media sosial dan kandungan yang diakses anak.
- Didikan awal yang berasaskan kasih sayang dan tanggungjawab sosial dapat membantu membentuk generasi lebih empati serta menghargai perasaan orang lain.
Bagaimana menangani pembuli?
Cara terbaik menghadapi pembuli ialah dengan membangunkan keyakinan diri dan kemahiran sosial.
Jika dibuli, jangan melawan dengan kekerasan.
Sebaliknya, jauhkan diri, dapatkan sokongan daripada rakan, guru atau penyelia dan laporkan kepada pihak berkuasa seperti sekolah atau jabatan sumber manusia.
Membuli bukanlah isu remeh kerana ia adalah masalah sosial yang memerlukan perhatian bersama, daripada ibu bapa, sekolah, tempat kerja hingga ke komuniti.
Akhirnya, pembuli tidak dilahirkan kerana mereka dicipta oleh dunia yang gagal membentuk empati. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram