'Sementara tunggu ambulans saya buat CPR untuk ibu tapi...', wanita tekad belajar teknik betul bantu selamatkan nyawa


  • Bonda
  • Isnin, 20 Okt 2025

Peserta kursus Basic Life Support (BLS) di Hospital Pantai Ampang melakukan latihan teknik CPR bagi bayi dan dewasa dengan tunjuk ajar jurulatih berpengalaman.

DALAM situasi kecemasan setiap saat amatlah berharga.

Bantuan awal sebelum pasukan perubatan tiba boleh menjadi garisan antara hidup dan mati.

Itulah pentingnya kemahiran Cardiopulmonary Resuscitation (CPR) satu langkah asas membantu menyelamatkan nyawa individu yang tiba-tiba berhenti bernafas atau mengalami serangan jantung.

BACA LAGI: Warisan seni, alam bersatu, 5 hiasan landskap serikan Taman Tasik Titiwangsa

BACA LAGI: [VIDEO] Tetap kuat walau kena 'body shaming', pelajar perempuan nekad raih 11A+ SPM, impi jadi guru

Ramai tidak sedar bahawa CPR bukan hanya untuk petugas kesihatan, tetapi juga kemahiran penting patut dipelajari setiap ibu bapa, penjaga dan orang awam.

Bertempat di Hospital Pantai Ampang, lebih 20 peserta hadir mengikuti kursus Basic Life Support (BLS) termasuk dalam kalangan ibu bapa muda dan pekerja kesihatan.

Program sehari berlangsung pada Ahad itu memberi pendedahan teori dan praktikal teknik CPR bagi bayi, kanak-kanak dan golongan dewasa, selain cara menggunakan Automated External Defibrillator (AED) bagi situasi kecemasan.

Bagi Norashikin Md Zain, 33, penyertaannya dalam kursus BLS bukan sekadar menambah ilmu, tetapi datang daripada pengalaman peribadi yang cukup menyayat hati.

"Sebelum sertai kursus BLS, saya tahu perkara asas sahaja tentang cara membantu pesakit yang mengalami kecemasan di rumah.

"Saya sertai kursus ini sebab saya pernah melalui pengalaman menyedihkan membantu arwah ibu menghidap sakit jantung," katanya ketika ditemui Majoriti selepas sesi latihan.

Menurutnya, detik itu menjadi antara pengalaman paling sukar dalam hidupnya apabila terpaksa berdepan saat cemas di rumah sementara menunggu ambulans tiba.

"Saya cuba yang terbaik bantu ibu, buat CPR sehabis mampu berdasarkan apa yang saya tahu ketika itu. Tapi ALLAH lebih sayangkan ibu," ujarnya menahan sebak.

Sesi praktikal BLS memperlihatkan semangat peserta mempelajari kemahiran menyelamat nyawa.

Katanya lagi, pengalaman itu membuatkan beliau berazam untuk mengasah ilmu CPR dengan lebih mendalam, bukan sahaja sebagai anak, tetapi juga sebagai individu yang bekerja dalam bidang perubatan.

"Dengan kelas BLS ini, saya mahu asah lagi teknik yang betul. Dalam bidang kerja saya, pengetahuan ini memang sangat berguna.

"Tapi paling penting, saya tak mahu sesiapa lalui pengalaman macam saya. Rasa tak berdaya ketika orang tersayang bertarung nyawa di depan mata," ujarnya lanjut.

Bagi Norashikin, antara cabaran utama dalam latihan adalah melakukan CPR terhadap bayi, memandangkan tubuh mereka yang lembut memerlukan teknik berbeza.

"Bahagian paling mencabar adalah pada bayi. Perlu berhati-hati, lembut, tapi tegas. Latihan ini mengajar kami supaya berani dan praktik cara betul untuk tangani situasi sebenar," jelasnya.

Selepas mengikuti kursus itu, keyakinan Norashikin semakin tinggi untuk bertindak sekiranya berlaku kecemasan.

"Sekarang saya lebih yakin. Semua ibu bapa patut tahu asas CPR sebab kita tidak tahu bila kejadian seperti anak tercekik atau tak sedarkan diri boleh berlaku. Ilmu ini bukan untuk kita, tapi untuk selamatkan orang lain," jelasnya.

Norashikin (kiri) dan Fatihah terpanggil untuk belajar teknik CPR demi bersiap-siaga membantu insan tersayang dan individu yang mengalami detik kecemasan.

Seorang lagi peserta, Nurul Fatihah, 22, dari Kota Damansara, Petaling Jaya, Selangor, mengakui penyertaan dalam kursus BLS membuka mata dan mindanya akan kepentingan kemahiran teknik CPR terutamanya selepas bergelar ibu.

"Sebelum ini saya hanya tahu secara asas. Selalu tengok orang buat CPR dalam video atau drama. Tapi hari ini saya dapat buat sendiri dan belajar cara sebenar.

"Sebagai ibu, saya rasa lebih bersedia kalau sesuatu berlaku pada anak saya," katanya.

Menurutnya, keinginan untuk mempelajari CPR datang daripada naluri keibuan dan tanggungjawab terhadap keselamatan anak.

"Saya ada seorang anak lelaki. Itu antara sebab utama saya datang belajar. Kita tak tahu bila kecemasan boleh berlaku, jadi lebih baik kita tahu dan bersedia," kongsi beliau.

Peserta berlatih secara berpasangan bagi memahami prosedur kecemasan sebenar.

Katanya, bahagian paling mencabar adalah teknik CPR bagi kanak-kanak dan dewasa, selain memahami fungsi mesin AED yang digunakan untuk membantu degupan jantung kembali normal.

"Saya baru tahu tentang cara menggunakan AED. Rupa-rupanya mudah dan boleh diakses orang awam. Kalau semua ibu bapa tahu cara gunanya mungkin lebih banyak nyawa boleh diselamatkan," jelasnya.

Selepas melalui latihan intensif itu, keyakinan Nurul Fatihah meningkat untuk bertindak dalam situasi kecemasan.

"Insya-ALLAH, sekarang lebih yakin. Saya sangat galakkan ibu bapa lain ikut kursus macam ini. Ilmu ini sangat berharga," katanya.

Dr. Sri Rao menerangkan langkah penting sebelum memulakan CPR kepada peserta.

Dalam perkembangan berkaitan, Pakar Perunding Jabatan Kecemasan dan Trauma, Hospital Kuala Lumpur, Dr. Sri Rao, kemahiran CPR bukan lagi sesuatu yang eksklusif untuk petugas kesihatan, sebaliknya perlu diketahui oleh semua lapisan masyarakat.

"Ramai ibu bapa panik apabila melihat anak mereka tiba-tiba tidak bernafas. Tapi langkah pertama yang paling penting adalah dengan menenangkan diri. Bila panik, semua tindakan akan jadi kelam-kabut," jelasnya.

Beliau menjelaskan, CPR perlu dilakukan secepat mungkin apabila pesakit tidak menunjukkan sebarang tanda nadi atau pernafasan.

"Kalau bayi atau kanak-kanak tak bernafas, periksa dulu kesedarannya. Kalau tiada nadi, itu tanda jantung sudah berhenti.

"Jangan tunggu ambulans kerana masa sangat berharga. Mulakan CPR segera. Lebih awal dimulakan, lebih tinggi peluang untuk otak mendapat oksigen dan pesakit boleh diselamatkan," katanya.

Dr. Sri turut menjelaskan perbezaan antara teknik CPR bagi orang dewasa dan bayi.

"Bagi orang dewasa, kita guna dua tangan menekan dada. Bagaimanapun, untuk bayi bawah umur setahun hanya guna dua ibu jari. Tekanan perlu cukup dalam, tapi tidak terlalu kuat kerana tulang mereka masih lembut," katanya lagi.

Beliau turut menasihatkan masyarakat agar tidak takut untuk melakukan CPR, walaupun tanpa latihan mendalam.

"Kalau tak tahu teknik sempurna pun, tekan sahaja dada pesakit dengan kadar yang konsisten sementara menunggu bantuan tiba. Lebih baik buat sesuatu daripada tidak buat apa-apa,” pesannya.

Latihan CPR bayi memerlukan kelembutan dan ketelitian yang tinggi.

Kursus BLS yang diadakan di Hospital Pantai Ampang itu menunjukkan semakin ramai masyarakat sedar akan kepentingan pengetahuan CPR, bukan sahaja di tempat kerja, tetapi juga di rumah.

Setiap individu terutama ibu bapa wajar mengambil peluang mengikuti latihan seperti ini sebagai langkah awal menyelamatkan nyawa.

Kerana dalam situasi kecemasan, setiap tekanan dada dan detik bererti satu peluang untuk hidup. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram