Rentetan kes tikam pelajar, pelajar usia 15 tahun trauma nampak staf pakai sarung tangan hitam


  • Bonda
  • Isnin, 20 Okt 2025

Bagi sesetengah remaja sarung tangan warna hitam membangkitkan memori tragedi pelajar sekolah ditikam baru-baru ini. — Gambar hiasan/Freepik

TRAGEDI mengejutkan masyarakat baru-baru apabila seorang pelajar perempuan berusia 16 tahun maut ditikam suspek berumur 14 tahun di SMK Bandar Utama 4, Petaling Jaya, Selangor.

Kejadian berlaku sekitar pukul 9.30 pagi di tandas sekolah, suspek dikatakan membawa pisau dan memakai sarung tangan hitam sebelum melakukan serangan.

Menurut laporan polis, suspek berjalan seperti tiada apa-apa berlaku selepas insiden, sebelum ditahan untuk siasatan lanjut berhubung motif.

BACA LAGI: Warisan seni, alam bersatu, 5 hiasan landskap serikan Taman Tasik Titiwangsa

BACA LAGI: [VIDEO] Tetap kuat walau kena 'body shaming', pelajar perempuan nekad raih 11A+ SPM, impi jadi guru

Kes itu bukan sahaja mengakibatkan kehilangan nyawa penuh tragis, malah meninggalkan kesan trauma mendalam kepada pelajar, guru, keluarga dan masyarakat setempat.

Kesan trauma rentetan insiden berkenaan semakin jelas sehingga tempiasnya 'menembusi' luar dinding sekolah, sekali gus mempengaruhi kehidupan harian ramai individu terutamanya dalam kalangan remaja.

Seorang pengguna Threads, @Tyalavida, berkongsi pengalaman peribadi yang menyedihkan.

Beliau merancang untuk membawa anak-anak saudaranya ke taman permainan di dalam pusat beli-belah sekitar Kuala Lumpur.

Semasa sedang meninjau kawasan permainan berkenaan tiba-tiba anak saudaranya berusia 15 tahun tertiba diam dan menggelengkan kepala tanda isyarat enggan masuk ke sana.

Anak saudara itu berkata, bahawa beliau melihat kakitangan di situ memakai sarung tangan hitam yang mengingatkannya kepada 'suspek' dalam kes tragedi sekolah.

Lalu Tyalavida segera memeluk anak saudaranya dan memohon maaf kerana tidak menyedari perkara itu, sebelum memutuskan untuk pergi ke tempat lain.

Beliau menyatakan kesedihannya sebagai ahli keluarga kerana tidak menyangka trauma dialami anak-anak saudaranya begitu mendalam.

Tuturnya, di rumah kakaknya telah membuang semua pisau di dapur yang mempunyai pemegang berwarna hitam.

Perkongsian itu mendapat perhatian ramai pengguna media sosial yang turut berkongsi pandangan masing-masing akibat insiden tersebut.

Ramai menyatakan bahawa trauma muncul dalam pelbagai bentuk, menunjukkan betapa luas kesan psikologi kejadian tersebut.

Sebagai contoh, pengguna @Qhalyshaaa berkata, "Kita yang tinggal di rumah pun trauma dengan perkara berlaku, apatah lagi mereka yang menghadapinya.

Pengguna lain, @Ana_ili21, bertanya, "Pelajar sekolah itu tidak diberikan kaunseling ke?"

Tyalavida pula menjawab, "Ada. Mereka pun dipanggil sudah tetapi bila menjejaki sekolah, melintasi tandas kejadian atau masuk bilik kaunseling untuk menceritakan semula, mereka lagi takut bila pulang ke rumah."

Seorang guru, @Cikgushamnor, berkongsi, "Sebagai guru yang memang biasa sangat ke sekolah itu kerana dulu hantar murid, mesyuarat, jaga peperiksaan. Kawan-kawan saya ramai mengajar di situ. Bila dapat tahu salah seorang rakan sekerja lama saya yang angkat jenazah berlumuran darah di tandas. Saya sendiri pun trauma takut dan risau. Sedih bila ada yang bising tidak tentu hala tapi mereka lupa tentang trauma murid-murid dan warga sekolah situ alami.

Pengguna @Akhmalshaqir pula menambah, "Sebenarnya ramai kanak-kanak trauma dengan kejadian tersebut. Media hanya fokus kepada kronologi kes, kenyataan daripada polis dan kementerian pendidikan tetapi tiada pun pihak yang bertanya, bagaimana mental kanak-kanak lain terkesan daripada kejadian ini."

Apa yang sepatutnya menjadi hari gembira untuk seorang wanita yang membawa anak-anak saudaranya bermain di pusat hiburan keluarga bertukar menjadi saat sebak apabila salah seorang daripada mereka enggan meneruskan aktiviti.

Ini hanya kerana terlihat pekerja di situ memakai sarung tangan hitam.

Sekilas tampak seperti hal kecil, namun bagi remaja itu, warna hitam pada sarung tangan cukup untuk membangkitkan semula memori ngeri tragedi pelajar ditikam hingga maut di sekolah. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram