Kecewa, pengukuhan cinta antara 6 fasa perkahwinan, anda kini sedang alami kategori mana?


  • Cinta
  • Ahad, 19 Okt 2025

Perkahwinan bukan sekadar lafaz janji, tetapi perjalanan panjang untuk memahami dan menghargai antara satu sama lain.

PERKAHWINAN sering digambarkan sebagai penyatuan dua jiwa yang indah, namun hakikatnya perjalanan menuju kebahagiaan bukanlah semudah yang disangka. 

Dalam satu perkongsian Profesor Dr Mohammad Aziz Shah Mohamed Arip daripada Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di media sosial beliau memaparkan enam fasa penting dalam sesebuah perkahwinan.

Bermula daripada detik penuh harapan hingga ke tahap menikmati kehidupan bersama dengan penuh kesyukuran.

BACA LAGI: 'Effort' luar biasa, lelaki guna AI hasil 'trailer' ala animasi Disney lamar kekasih hati

BACA LAGI: Cinta berputik sejak remaja, suami isteri pencipta Barbie dan Hot Wheels ubah dunia permainan kanak-kanak

Dengan memahami setiap fasa ini membantu pasangan menilai semula makna cinta dan komitmen sebenar dalam hubungan suami isteri.

Fasa 1: Mimpi

Pada awal perkahwinan, pasangan biasanya terbuai dengan impian indah iaitu segalanya kelihatan sempurna seperti drama romantik di kaca televisyen. 

Setiap perbuatan pasangan dianggap manis dan mencuit hati. 

Inilah tempoh di mana cinta berputik dalam suasana penuh warna, tanpa menyedari bahawa realiti sebenar masih menanti di hadapan.

Fasa 2: Realiti

Apabila fasa ‘berbulan madu’ berakhir, pasangan mula nampak kekurangan dan perangai sebenar masing-masing.

Pasangan mula menyedari kelemahan dan perbezaan yang sebelum ini tidak kelihatan. 

Di sinilah muncul ujian pertama iaitu bagaimana menerima hakikat bahawa kehidupan berdua tidak seindah mimpi, tetapi memerlukan toleransi dan kefahaman yang tinggi.

Fasa 3: Kecewa

Apabila perbezaan menjadi semakin ketara, konflik kecil boleh berubah menjadi pertengkaran besar. 

Muncul rasa kecewa, penyesalan, malah ada yang terfikir sama ada mereka telah tersalah pilih pasangan. 

Fasa ini dianggap paling genting kerana ramai yang kecundang dan memilih untuk berpisah jika tidak mampu mengawal emosi serta ego.

Fasa 4: Memahami

Namun, bagi mereka yang bertahan inilah titik perubahan. Pasangan mula belajar menerima kekurangan masing-masing dengan hati terbuka.

Mereka sedar bahawa tiada manusia yang sempurna dan cinta memerlukan ruang untuk tumbuh melalui kesabaran. 

Dalam fasa itu kejujuran, komunikasi dan empati menjadi kunci untuk berdamai dan memperbaiki diri.

Fasa 5: Pengukuhan cinta

Setelah berjaya melalui badai, hubungan menjadi lebih kukuh. 

Cinta yang lahir bukan lagi sekadar perasaan, tetapi hasil usaha bersama membina kepercayaan dan rasa hormat.

Pasangan kini mengerti bahawa bahagia bukan sesuatu yang datang sendiri tetapi ia perlu dicipta dan dipupuk dengan kesetiaan, pengorbanan dan saling menghargai.

Fasa 6: Menikmati kehidupan

Fasa terakhir pasangan mula tenang dan matang dalam menghadapi perbezaan. 

Mereka berhenti mencari kesalahan, sebaliknya memilih untuk bersyukur atas kebersamaan yang dimiliki. 

Segala suka duka dijadikan pengalaman berharga dan hubungan kini berlandaskan kasih yang tulus iaitu menikmati kehidupan bersama dengan penuh makna dan keikhlasan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram