
"TOLONGLAH saya, dia satu-satunya tokwan saya."
Itu luahan sayu seorang wanita, Najihah Ibrahim, yang masih menaruh harapan untuk menemukan datuknya, Abd Razak Abd Rahman, 88, yang hilang sejak Sabtu lepas di Kampung Batu 7, Jalan Kroh, Baling, Kedah.
Dalam hantaran di media sosial, Najihah meluahkan rasa pilu apabila usaha mencari datuknya masih belum menemui sebarang petunjuk.
“Genap seminggu tokwan hilang tanpa khabar, tanpa tanda. Pagi ini orang kampung dan orang awam teruskan usaha mencari di kawasan Rambong Batu 7 Baling, Kedah dan jalan ke Kroh.
"Semalam ada orang jumpa kain pelikat di Kroh tapi bila diperiksa, bukan milik tokwan. Orang kampung juga masuk hutan dengan laungan azan berkali-kali tapi tetap tiada hasil,” tulis Najihah.
BACA LAGI: 'Effort' luar biasa, lelaki guna AI hasil 'trailer' ala animasi Disney lamar kekasih hati
Tambahnya lagi, keluarga sudah berusaha menjejak ke hospital dan mendapatkan pengesahan pihak polis, namun semuanya buntu.
“Dah tanya hospital, mereka kata tiada pesakit atau mayat tanpa waris. Polis pun dah sahkan hal itu,” ujarnya.
Sementara itu, Pemangku Ketua Polis Daerah Baling, DSP Ahmad Salimi Md Ali dalam kenyataan media pada Ahad lepas memaklumkan, warga emas berkenaan dilaporkan hilang selepas keluar dari rumah sekitar pukul 8 pagi pada Sabtu lepas.
“Lelaki tersebut dipercayai berjalan sendirian meninggalkan rumah. Difahamkan, dia uzur dan mempunyai masalah ingatan (mudah lupa),” katanya.
Abd Razak memiliki ketinggian kira-kira 140 sentimeter, berat sekitar 50 kilogram, berambut putih, berkulit sawo matang, berbadan bongkok serta mempunyai janggut dan misai putih.
Menurut Ahmad Salimi, laporan kehilangan dibuat oleh waris sekitar pukul 4.25 petang pada hari kejadian.
Pihak polis bersama penduduk kampung dan sukarelawan kini terus menggerakkan pencarian di sekitar kawasan hutan dan jalan utama menuju ke Kroh.
Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai Abd Razak diminta segera menghubungi mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu usaha pencarian. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram