SEKUMPULAN perompak menggunakan alat pemotong logam dan pengangkat perabot memecah masuk ke Muzium Louvre di Paris, Perancis pada Ahad dan melarikan barang kemas diraja dalam rompakan berani yang mengambil masa 7 minit pada waktu siang.
Polis kini memburu suspek, namun sebuah mahkota abad ke-19 milik isteri kepada Napoleon III, Permaisuri Eugenie, ditemui pecah berhampiran muzium selepas kejadian.
Menurut laman web Louvre, mahkota itu dihiasi burung helang emas, 1,354 butir berlian dan 56 zamrud.
BACA LAGI: [VIDEO] Sejuk perut ibu mengandung, anak ‘hilang’ rupanya sibuk belajar ambil wuduk di bilik mandi
BACA LAGI: Warisan seni, alam bersatu, 5 hiasan landskap serikan Taman Tasik Titiwangsa

Mahkota abad ke-19 milik Permaisuri Eugenie yang ditemui pecah berhampiran Muzium Louvre selepas kejadian rompakan. — Agensi
Rompakan itu antara beberapa kejadian menyasarkan muzium di Perancis kebelakangan ini, sekali gus memaksa Louvre menutup operasi sepanjang hari.
Askar bersenjata berkawal di sekitar piramid kaca ikonik muzium itu, manakala pasukan polis menjalankan siasatan.
Pelawat dan pelancong yang diarahkan keluar dikawal di sebalik pita keselamatan.
Menteri Dalam Negeri, Laurent Nunez berkata, tiga atau empat perompak dipercayai mencuri barangan bernilai tinggi dari dua pameran di Gallerie d’Apollon menggunakan alat pengangkat perabot untuk mencapai lokasi sasaran.
Koleksi di galeri itu turut melibatkan tiga berlian bersejarah, iaitu The Regent, The Sancy dan The Hortensia serta rantai zamrud dan berlian yang pernah dihadiahkan Napoleon kepada isterinya, Permaisuri Marie Louise.
Siasatan awal mendapati rompakan berlaku antara pukul 9.30 dan 9.40 pagi, hanya setengah jam selepas muzium dibuka kepada umum.

Rantai zamrud dan berlian pernah dihadiahkan Napoleon kepada isterinya, Permaisuri Marie Louise turut dicuri. — Agensi
Perompak dilaporkan menaiki skuter sambil membawa pengisar besi bagi memecah masuk ke ruang pameran.
Rompakan berani itu berlaku hanya 800 meter (m) dari ibu pejabat polis Paris. Louvre kemudian mengumumkan penutupan operasi bagi 'sebab luar biasa' tanpa menyebut kejadian rompakan.
Pejabat Pendakwa Raya Paris mengesahkan siasatan sedang dijalankan dan nilai keseluruhan barang curian masih dinilai.
Louvre yang dahulunya istana raja Perancis sebelum era Versailles, kini merupakan muzium paling ramai dikunjungi di dunia dengan sembilan juta pelawat tahun lalu.
Dalam beberapa bulan kebelakangan ini, beberapa muzium di Perancis turut menjadi sasaran.
Antara insiden termasuk kecurian sampel emas bernilai RM3 juta dari Muzium Sejarah Alam Paris bulan lalu dan rompakan artifak berharga di Muzium Cognacq-Jay tahun lalu.
Presiden Emmanuel Macron sebelum ini berjanji untuk memulihkan dan memperluaskan Louvre bagi meningkatkan jumlah pelawat tahunan kepada 12 juta orang. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
