Balu pendaki Raja Azlan Shah kenang tragedi pemergian suami di Gunung Tahan, mengerti perasaan isteri arwah Mustaqqeem


  • Cinta
  • Sabtu, 18 Okt 2025

Nor Zaharah terkenang dengan kematian arwah suaminya, Raja Azlan Shah yang meninggal dunia di Gunung Tahan pada 2022.

KISAH tragis pendaki, Mustaqqeem Mansoor, yang ditemukan meninggal dunia dipercayai akibat hipotermia ketika menyertai ekspedisi Trans Slim dari Bukit Fraser ke Gunung Liang baru-baru ini, mengundang rasa sebak dalam kalangan komuniti pendaki di Malaysia.

Antara yang tersentuh hati ialah Nor Zaharah Sham Shamsul Bahar, balu kepada Allahyarham Raja Azlan Shah Raja Abdul Aziz, pendaki yang meninggal dunia ketika menyertai ekspedisi Gunung Tahan pada 2022.

Walaupun tidak pernah mengenali Mustaqqeem secara peribadi, kisahnya cukup untuk menggoncang emosi Nor Zaharah kerana peristiwa itu hampir sama dengan apa yang pernah dilaluinya tiga tahun lalu.

BACA LAGI: 'Effort' luar biasa, lelaki guna AI hasil 'trailer' ala animasi Disney lamar kekasih hati

BACA LAGI: Cinta berputik sejak remaja, suami isteri pencipta Barbie dan Hot Wheels ubah dunia permainan kanak-kanak

“Saya tahu apa yang isteri arwah Mustaqqeem sedang rasa. Saya doakan semoga ALLAH beri kekuatan kepadanya untuk menghadapi kehilangan ini,” katanya kepada Majoriti.

Menurut Nor Zaharah, sejak 2023, beliau berusaha mendapatkan keadilan dengan mengetengahkan kes itu di Mahkamah Kuantan kerana mahu merungkai lebih mendalam kejadian disebalik kes itu. 

“Kali terakhir saya bercakap dengan suami, Raja Azlan (Ian) pada pagi 12 Mac. Dia telefon untuk beritahu akan mulakan ekspedisi. Selepas itu, tiada lagi panggilan atau mesej,” ujarnya.

Walaupun arwah membawa jam taktikal Garmin dan suar kecemasan (SOS), tiada sebarang amaran kecemasan diaktifkan ketika kejadian.

“Di tangan arwah ada gelang tentera nombor saya dan anak-anak. Semua kawan dia tahu kalau ada apa-apa, mereka kena maklumkan saya. Tapi mereka diam.

“Berulang kali saya tanya isteri seorang daripada rakan suami yang ikut mendaki bersama. Katanya ada ahli yang collapse, tetapi tak beritahu bahawa itu suami saya.

"Bila dah berjam-jam saya desak untuk beritahu siapa sebenarnya yang collapse. Baru saya tahu yang itu suami saya. Saya sendiri yang hubungi polis dan minta bantuan helikopter,” katanya.

Pendakian diteruskan walaupun keadaan suami lemah.

Zaharah berkata, kumpulan pendakian itu meneruskan perjalanan walaupun suaminya telah mengalami cirit-birit, keletihan dan kesukaran bernafas pada hari kedua ekspedisi.

“Pemandu tidak ada peralatan komunikasi yang betul. Mereka hanya guna walkie-talkie peribadi pendaki lain untuk minta bantuan.

“Ian dah cakap dia tak mahu teruskan. Tapi mereka tetap teruskan pendakian. Dalam keadaan dia dah lemah, sepatutnya dia dibawa turun segera,” jelasnya.

Nor Zaharah memberitahu, selepas menerima berita kematian suaminya, beliau tidak dibenarkan mendekati jenazah di bilik mayat atas alasan prosedur Covid-19 ketika itu.

“Saya dah pakai dua lapis baju pelindung diri. Tapi mereka tetap tak benarkan saya dekat.

“Saya cuma nak peluk suami saya atau sekurang-kurangnya cium buat kali terakhir. Tapi saya tak sempat ucap selamat tinggal.

“Anak-anak pun tak dibenarkan tengok arwah,” luahnya.

Selain itu, Nor Zaharah turut meluahkan rasa terkilan apabila tiada seorang pun rakan pendakian arwah hadir ke kenduri tahlil selepas kejadian itu.

“Tiga orang datang ke rumah lepas itu, tapi bila saya tanya apa sebenarnya berlaku, mereka elak.

“Malah ada bersikap kasar dan cuba menyalahkan arwah sendiri. Mereka kata suami saya lembik. 

“Saya cuma nak tahu kebenaran. Sampai hari ini saya tak dapat jawapan,” katanya.

Menurut Nor Zaharah, keputusan mahkamah yang diterima baru-baru ini kematian suaminya diklasifikasikan ‘misadventure’ atau kemalangan tidak dijangka.

“Pakar patologi sendiri maklumkan, kalau dibawa turun lebih awal, peluang untuk dia selamat memang ada,” jelasnya.

Bagi Nor Zaharah, tragedi itu harus dijadikan pengajaran kepada semua pendaki agar lebih berhati-hati dan tidak terlalu percaya meskipun bergerak bersama rakan sendiri.

“Berhati-hatilah walaupun mendaki dengan kawan sendiri. Cari malim yang betul-betul berpengalaman dan tahu cara menangani situasi kecemasan,” katanya.

Untuk rekod, Raja Azlan Shah, 51, dari Petaling Jaya meninggal dunia pada 16 Mac 2022 ketika dalam perjalanan turun dari puncak Gunung Tahan selepas empat hari mendaki.

Beliau sepatutnya pulang pada 15 Mac, namun ekspedisi dilanjutkan sehari.

Menurut laporan polis ketika itu, punca kematian adalah keletihan dan cirit-birit berpanjangan selama dua hari.

“Dia sepatutnya balik 15 Mac. Tapi bila saya tak terima apa-apa berita, saya tahu sesuatu tak kena. Bila baca kisah arwah Mustaqqeem, semua memori tu datang balik,” katanya.

Bicara beliau, kehilangan itu bukan sekadar menguji ketabahannya sebagai isteri, malah mengubah pandangan orang terhadap dirinya.

“Bila kita kehilangan suami, orang pandang kita macam tak ada apa. Ada menjauhkan diri. Tapi saya bersyukur sebab anak-anaklah kekuatan saya. ALLAH tahu apa yang terbaik,” tuturnya menutup bicara. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram