Pameran fesyen di muzium ibarat pentas peraga, rai karya legasi pereka ikonik dunia


  • Gaya
  • Rabu, 15 Okt 2025

Rekaan Giorgio Armani terus hidup dipamerkan bersama lukisan terkenal dunia oleh artis seperti Caravaggio dan Raphael. — Agensi

FESYEN akan terus hidup. Jika bukan di dalam almari, ia akan dikurasi dengan teliti di mana keindahan dan maknanya dipelihara walaupun hanya sementara.

Pereka fesyen terkemuka sering diraikan melalui pameran besar yang memaparkan legasi mereka.

Salah seorang tokoh itu ialah Giorgio Armani terkenal dengan rekaan kemas dan gaya klasiknya tidak akan dilupakan.

BACA LAGI: Penampilan terkini Maria Tunku Sabri semakin langsing raih perhatian, ramai minta 'share' tip!

BACA LAGI: Lepas satu, satu kes berlaku, ibu bapa gusar, cadang pasang CCTV di sekolah, institusi pengajian

Giorgio Armani meninggal dunia 4 September lalu pada usia 91 tahun. — Agensi

Pengaruh beliau menjadi tumpuan dalam pameran Milano, Per Amore di Pinacoteca di Brera yang berlangsung sehingga 11 Januari 2026.

Ia bagi meraikan sumbangan beliau dengan bandar dan seni kraf fesyen.

Giorgio yang meninggal dunia pada 4 September lalu dianggap harta nasional oleh rakyat Itali.

Terdapat juga pameran terbaru Virgil Abloh di Grand Palais, Paris.

Pameran Virgil Abloh: The Codes menjejaki perjalanan pereka ini dari seorang tokoh kreatif streetwear (gaya jalanan) kepada pengarah seni lelaki kulit hitam pertama di Louis Vuitton.

Pameran dibuka pada 30 September itu berlangsung hanya 10 hari dan sepatutnya menandakan ulang tahun ke-45 Abloh, hampir empat tahun selepas pemergiannya yang terlalu awal.

Pameran The Codes ini meraikan inovasi dan sumbangan Virgil Abloh dalam dunia fesyen lelaki. — Agensi

Sementara itu, Azzedine Alaïa: Of Sculpted Silence menampilkan kepakaran pereka dalam bentuk dan fabrik.

Diadakan di Fondation Azzedine Alaia, dan berlangsung hingga 16 November, pameran ini menekankan dedikasi beliau terhadap kraf.

Rekaan beliau diingati kerana menampilkan kemewahan secara halus dan sederhana.

Pereka kelahiran Tunisia dan berpangkalan di Paris itu meninggal dunia pada 2017,

Pun begitu, beliau masih memberi pengaruh besar dalam fesyen Perancis.

Kini, penghormatan berskala muzium tidak lagi hanya untuk mereka yang telah meninggal dunia.

Lebih ramai pereka masih hidup turut diraikan dengan cara yang sama, bukan di penghujung kerjaya, tetapi pada masa kini.

Pameran Rick Owens: Temple of Love memfokuskan visi unik pereka itu.

Berlansung sehingga 4 Januari 2026 di Palais Galliera, Paris, pameran berkenaan mengubah estetika avant-garde beliau menjadi pengalaman unik yang membuat pengunjung benar-benar merasai suasana, sambil menyatukan fesyen, seni bina dan persembahan seni.

Pameran Temple of Love menampilkan visi unik Rick Owens dalam fesyen avant-garde. — Agensi

Bakat muda turut menerima penghormatan sama.

Pameran Adorned by Douriean Fletcher yang berlangsung sehingga 15 Mac pula mengetengahkan artis dan pereka barang kemas dari Los Angeles yang terkenal melalui kerja beliau dalam filem Black Panther di mana aksesori menjadi alat penceritaan dan pemberdayaan.

Dengan membawa rekaan barang kemas beliau ke muzium, Museum of Arts and Design, New York mengiktiraf bagaimana pencipta kontemporari mentakrif semula sejarah fesyen.

Tujuannya adalah untuk meluaskan naratif fesyen melebihi rumah couture, termasuk suara yang menggabungkan seni dan budaya popular.

Kesemua pameran terlibat menekankan bahawa fesyen lebih daripada sekadar perniagaan atau trend bermusim.

Dengan mengabadikan pereka yang masih hidup dan yang telah meninggal dunia, muzium menekankan fesyen sebagai bentuk seni, satu medium yang mencerminkan zamannya, mencabar konvensyen dan membentuk cara kita melihat diri sendiri. — The Star/BERVIN CHEONG

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram