
DALAM hiruk-pikuk kehidupan sebagai seorang pelakon dan aktivis kemanusiaan, Ardell Aryana sering kali menjadi tumpuan masyarakat atas komitmennya terhadap isu-isu global, termasuk misi bantuan ke Gaza baru-baru ini.
Namun, di sebalik kegigihannya itu, wanita mesra disapa Ardell itu baru saja kembali dari misi kemanusiaan penuh cabaran dalam Global Sumud Flotilla, yang mana beliau menghadapi detik-detik getir termasuk penahanan dan kekerasan fizikal oleh rejim Zionis.
Tindakan keras itu mengakibatkan pemilik nama sebenar Nurul Hidayah Mohd Amin, mengalami tekanan darah rendah, koyak tisu bahu dan lebam pada badan.
BACA LAGI: [VIDEO] Rakyat Malaysia berminat beli rumah di Jepun, ini 5 panduan praktikal boleh cuba!
BACA LAGI: Doktor luah kerja 70 jam masih belum mampu beli rumah di Malaysia
Pengalaman itu bukan sahaja menguji ketabahan fizikalnya, malah membuka ruang untuk beliau berkongsi cerita peribadi lebih mendalam tentang kasih sayang seorang anak kepada ibunda.
Baru-baru ini, melalui platform Threads, Ardell mendedahkan pengalaman menyentuh hati dalam menguruskan kaki ibunya yang diamputasi akibat komplikasi kesihatan selepas pembedahan.
"Rezeki hari ini dapat belajar dan turut bersama dalam menguruskan bersih cuci serta kafankan bahagian kaki anggota ibuku dengan Ustazah Aina.
"Terima kasih dan terima kasih juga Ustaz PU Rahmat sebab bantu saya dan datang sama untuk urusan ini dari forensik ke masjid, kafan sehingga urusan ditanam.
"Buat pasukan pejabat pengurusan dan pasukan tanah perkuburan Islam Kampung Sungai Kantan sebab sudi bantu saya uruskan kaki ibu saya," titipnya.
Proses itu melibatkan pembersihan, mengkafankan dan pengebumian bahagian kaki tersebut mengikut syariat Islam dengan bantuan daripada Ustazah Aina, Ustaz PU Rahmat serta pasukan pengurusan masjid dan tanah perkuburan di Kampung Sungai Kantan.
Ibu kepada dua cahaya mata itu turut menyifatkan detik itu sebagai rezeki kerana berpeluang belajar dan turut serta dalam urusan berkenaan walaupun ia penuh emosi.
"Wahai kaki ibu ku yang banyak berjasa, terima kasih, selesai urusan kaki ini di dunia dan telah pun dikembalikan kepada tanah."
Perkongsian Ardell bukan sahaja mencerminkan ketaatan beliau terhadap ajaran agama, malah menonjolkan ikatan kasih sayang mendalam antara anak dan ibu, yang mana bahagian kaki itu dilihat sebagai simbol jasa ibu tidak ternilai.
Pengalaman itu juga selaras dengan latar belakang ibu Ardell sebagai ibu tunggal mualaf yang gigih membesarkan sendiri dan menghadapi pelbagai dugaan tanpa mengeluh.
Ibu beliau menjadi tiang seri keluarga, mengorbankan segalanya untuk memastikan anak-anak mendapat pendidikan dan kehidupan lebih baik.
Ardell sering kali mengaitkan kekuatannya hari ini dengan didikan ibu yang mengajar beliau nilai reda dan syukur dalam menghadapi ujian.
Walaupun baru pulang dari misi Sumud penuh risiko, Ardell tetap mengutamakan urusan keluarga, menunjukkan bahawa perjuangan kemanusiaan beliau bermula dari rumah tangga sendiri.
Kisah Ardell mengingatkan kita bahawa di sebalik kegemilangan seorang tokoh awam, terdapat cerita peribadi penuh air mata dan pengajaran.
Pengorbanan ibu, rezeki dalam ujian dan ketabahan seorang anak seperti Ardell menjadi teladan bahawa kasih sayang sejati tidak pernah pudar, walaupun dihadapkan dengan kepiluan seperti amputasi atau trauma misi kemanusiaan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram