
BAGI sesetengah wanita, proses bersalin bukan hanya tentang menyambut kelahiran baharu, tetapi juga melibatkan keputusan besar tentang kesihatan dan keselamatn diri.
Antara isu yang sering dibincangkan ialah nasihat doktor kepada wanita yang telah melalui tiga kali pembedahan caesarean juga dikenali sebagai C-section supaya mempertimbangkan prosedur pengikatan tiub peranakan bilateral tubal ligation (BTL).
Baru-baru ini, doktor dan pempengaruh media sosial, Dr. Malar Santhi Santherasegapan berkongsi penjelasan ringkas, tetapi penting di platform Threads mengenai sebab di sebalik saranan itu.
Langkah 'ikat' itu bagi melindungi keselamatan dan kesihatan ibu daripada sebarang komplikasi pada pembedahan seterusnya. — Agensi
Penjelasan itu dilakukan persama seorang lagi pakar sakit puan, Dr. Lisa Eik Lee Cil Cah yang bertugas di sebuah hospital swasta sekitar Cheras, Kuala Lumpur.
Perkongsian tersebut menjelaskan, selepas tiga kali pembedahan caesarean risiko komplikasi meningkat dengan ketara terutama melibatkan lekatan tisu dan penipisan dinding rahim.
Antara risiko utama termasuk:
1. Lekatan (adhesion) yang semakin teruk dan berpotensi mencederakan organ berdekatan.
2. Dinding rahim semakin nipis, menyebabkan risiko rahim pecah ketika hamil atau bersalin.
3. Uri melekat pada parut lama (placenta accrete) yang dalam kes serius boleh memerlukan pembuangan rahim.
Dr. Malar berkata, langkah tersebut bukan bertujuan mengehadkan kehamilan semata-mata, tetapi bagi melindungi keselamatan dan kesihatan ibu daripada risiko komplikasi yang boleh berlaku pada pembedahan seterusnya.
"Atas faktor keselamatan ibu, kebanyakan doktor akan mencadangkan untuk melakukan BTL selepas pembedahan kali ketiga," tulis mereka sambil menasihatkan agar setiap keputusan dibuat selepas perbincangan bersama pakar obstetrik dan ginekologi (OBGYN).
Dalam pada itu, beberapa pengguna platform terlibat turut berkongsi pengalaman mereka menjalani prosedur tersebut di ruangan komen.
IUD digunakan bagi mengelak kehamilan dalam masa terdekat. — Agensi
"Kehamilan ketiga, doktor Klinik Kesihatan dah beri surat rujukan ke pakar untuk elective c-section (pembedahan czer dirancang lebih awal) dan BTL. Dua kali sebelum ni dilakukan secara kecemasan.
"Apabila beritahu orang lain, ramai terkejut kenapa nak ikat sebab baru berusia lingkungan 30-an. Tapi saya dan suami dah sepakat. Badan kita, kita yang jaga," komen @ajaatahir.
"Saya dah tiga kali czer, masa kali ketiga, kami suami isteri setuju untuk ikat. Tapi doktor tak mahu sebab luka cantik dan sembuh elok.
"Katanya boleh cuba lagi sebab anak semua lelaki. Tapi saya rasa cukuplah tiga," kata @farahardhina.
Ada juga yang berkongsi pengalaman berbeza melibatkan kakak iparnya.
"Kakak ipar saya tiga kali czer tapi dalaman masih cantik. Doktor sarankan pakai peranti intrauterin (IUD) saja untuk jarakkan kehamilan dan bagi peluang untuk keempat," kongsi @nine9butterflies.
Untuk makluman, IUD ialah alat perancang keluarga yang diletakkan di dalam rahim bagi mengelakkan kehamilan dalam masa terdekat.
Selain pengalaman peribadi, ada juga warga maya yang mencadangkan agar ilmu itu disampaikan lebih awal sebelum menuju ke hari perkahwinan.
"Dicadangkan ketika kursus kahwin diselitkan penerangan begini supaya bakal suami dan isteri sama-sama faham. Bukan sekadar topik ringan yang buat peserta segan," ujar @jasnizajamaluddin. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram