[VIDEO] Tak dengar bayi menangis, lambat 'skin to skin' antara situasi bakal dialami ibu bersalin czer, jangan panik


  • Bonda
  • Rabu, 11 Jun 2025

Bersalin secara pembedahan czer merupakan perjuangan besar buat seluruh ibu. — Gambar hiasan/Agensi

BERSALIN secara pembedahan caesarean atau lebih dikenali sebagai czer merupakan satu kaedah kelahiran melibatkan pembedahan pada bahagian abdomen dan rahim ibu.

Prosedur itu kebiasaannya dilakukan apabila kelahiran secara normal terlalu berisiko atau tidak selamat untuk ibu atau bayi.

Kaedah pembedahan czer juga boleh dirancang atau tidak bergantung kepada keadaan ibu dan bayi sepanjang tempoh kehamilan.

BACA LAGI: Jangan rasa selamat tak nampak asap, 'thirdhand smoke' risiko anak diserang asma

BACA LAGI: Ketahui personaliti anda wanita riang, pemalu, berkerjaya dengan 6 gaya galas beg tangan

Berdasarkan maklumat dikongsikan oleh panel perubatan di Hello Doktor, walaupun bayi anda berkemungkinan besar selamat dilahirkan, tubuh badan ibu memerlukan masa yang lebih lama untuk sembuh berbanding mereka yang melahirkan anak secara normal.

Pun begitu, masih terdapat beberapa perkara perlu diambil tahu oleh setiap pasangan tentang czer yang mungkin berbeza dengan gambaran ditunjukkan di kaca televisyen.

1. Walapun membuat keputusan untuk merancang pembedahan czer, sakit kontraksi masih dirasai `secara semula jadi.

Selain kontraksi, air ketuban yang pecah atau turun tanda-tanda awal tetap boleh berlaku.

2. Rasa sakit, tekanan, pergerakan ketika pembedahan dijalankan boleh dirasakan secara sedar, tetapi lebih kepada rasa kebas.

3. Keadaan bilik bedah yang tidak benar-benar selesa kerana suhu yang sejuk, bercahaya dan penuh dengan petugas hospital.

4. Suntikan anestetik atau epidural yang berfungsi dengan pantas boleh menyebabkan getaran atau mual. Jarum sepanjang 8 sentimeter (cm) yang dimasukkan ke dalam tulang belakang juga akan membuatkan ibu tidak selesa.

5. Anda mungkin tidak akan mendengar bayi menangis secara serta-merta dan ia boleh menjadi satu kebimbangan. Namun, bayi yang dikeluarkan dengan kaedah itu memerlukan prosedur sedutan dan rangsangan sebelum mengeluarkan tangisan pertama.

6. Proses skin to skin juga tidak akan berlaku dengan pantas bergantung pada keadaan ibu dan bayi. Ia mengambil masa sebelum ibu dapat menyentuh atau memeluk bayi.

7. Hari pertama selepas pembedahan adalah sangat sukar. Ibu mungkin akan berasa tidak selesa, kaki kebas, parut baharu, tidak boleh bergerak atau membersihkan diri sendiri.

Bukan itu sahaja, anda juga mungkin akan berasa lapar dan boleh mulakan dengan pengambilan makanan pepejal secara perlahan-lahan.

Ini termasuk badan mungkin penuh angin, namun tidak perlu bimbang kerana ia adalah normal menunjukkan usus-usus berfungsi dengan normal. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram