[VIDEO] Kena tinggal bapa ketika kecil, dorong Rob Kenney jadi 'ayah angkat' online, ajar ikat tali leher, tukar tayar


  • Bonda
  • Rabu, 15 Okt 2025

Kenney yang membesar tanpa bapa, kini menjadi 'ayah' maya melalui saluran YouTube miliknya.

DALAM kehidupan penuh cabaran, ada kalanya pengalaman pahit masa lalu boleh menjadi sumber inspirasi untuk mengubah nasib orang lain.

Kisah hidup Rob Kenney adalah bukti bagaimana seorang individu yang kehilangan bapa pada usia muda mampu bangkit dan menjadi teladan buat ramai.

Melalui saluran YouTube miliknya, "Dad, how do I?", beliau bukan sahaja berkongsi kemahiran asas kehidupan, tetapi turut menawarkan sokongan emosi yang diperlukan oleh golongan muda membesar tanpa bimbingan figura bapa.

BACA LAGI: Dekorasi, reka bentuk gaya industri suntik vibes santai ketika nikmati sepotong piza artisan, secawan kopi

BACA LAGI: Trump dakwa ambil paracetamol ketika hamil punca anak autisme, pakar perubatan sangkal, jelas situasi sebenar

Menurut Kenny, bapa meninggalkan beliau dan adik-beradik ketika usianya baru 14 tahun.

Keadaan itu memaksa Kenney berpindah ke sebuah rumah kecil bersama abangnya yang berusia 23 tahun dan isterinya.

Pengalaman pahit itu membuatkan beliau berazam untuk tidak mengulangi kesilapan orang tuanya.

Dalam satu temu bual, Kenny berkongsi bahawa matlamat utamanya bukanlah kekayaan atau kejayaan material, tetapi membesarkan anak-anak menjadi insan dewasa yang baik, kerana beliau sendiri mengalami zaman kanak-kanak yang retak.

Kini, selepas 32 tahun berkahwin dan membesarkan dua anak, Kristine dan Kyle, Kenney memutuskan untuk meluaskan peranannya sebagai bapa.

Beliau mencipta saluran YouTube bernama "Dad, How Do I?" pada 2020, dengan tujuan mengajar kemahiran hidup praktikal kepada kanak-kanak dan remaja yang tidak mempunyai bapa.

Video-videonya merangkumi pelbagai topik, daripada cara mengikat tali leher, menukar tayar kereta, membersihkan longkang tersumbat, hingga mencukur janggut dengan betul.

Setiap video dimulakan dengan ucapan mesra, "Hey, kids!", dan disampaikan dengan nada hangat serta penuh galakan, seolah-olah sedang bercakap secara langsung dengan penontonnya.

Saluran itu mendapat sambutan luar biasa, dengan hampir lima juta pelanggan setakat ini.

Bukan sekadar tutorial biasa, video-video Kenney turut menyuntik semangat dengan kata-kata positif seperti "Saya bangga dengan awak" atau "Awak sedang melakukan yang terbaik".

Ramai penonton, termasuk mereka yang kehilangan bapa, meluahkan rasa terharu dalam komen.

Seorang penonton berusia 20 tahun berkata, "Saya tidak pernah ada orang yang ajar saya mengikat tali leher, tapi sekarang saya tahu! Saya suka lelaki ini."

Sementara itu, yang lain pula berkongsi, "Ayah saya juga meninggalkan saya dan video-video awak buat saya menangis. Ini sungguh indah dan hebat."

Kisah Kenney mengingatkan kita bahawa peranan seorang bapa tidak terhad kepada keluarga sendiri, malah boleh meluas kepada masyarakat.

Beliau menjadi contoh bagaimana pengalaman peribadi boleh diubah menjadi alat untuk memberi impak positif. 

Bagi ramai yang membesar tanpa bimbingan, saluran itu bukan sahaja mengajar kemahiran, tetapi juga mengisi kekosongan emosi. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram