Cikgu buat 'spot check' terkejut, telefon murid Tahun 6 penuh gambar guru, ustaz KAFA jadi bahan 'troll'


  • Bonda
  • Rabu, 15 Okt 2025

Sesetengah sekolah sudah mula mengambil tindakan tegas untuk memeriksa beg sekolah murid bagi mengelakkan kejadian tidak diingini berlaku. — Gambar hiasan/AI

KEJADIAN tragis membabitkan seorang pelajar perempuan yang maut ditikam di sebuah sekolah baru-baru ini tidak dinafikan menimbulkan kebimbangan dalam kalangan masyarakat tempatan.

Sebagai langkah berjaga-jaga, terdapat beberapa pihak sekolah dilihat mengambil tindakan tegas terhadap isu keselamatan pelajar.

Berdasarkan perkongsian seorang guru menerusi akaun Thread @fatheenafiqah, pemantauan termasuk melakukan pemeriksaan mengejut turut dilakukan di sekolah rendah susulan kes tersebut.

BACA LAGI: ‘Bersahabatlah hingga syurga’, ibu letak syarat, wajib solat 5 waktu jika nak berkawan dengan anak

BACA LAGI: Menantu ajar cara menaip, nenek 90 tahun berjaya genggam ijazah bidang sastera Inggeris

Menurutnya, arahan yang dikeluarkan oleh Penolong Kanan Hal Ehwal Murid (PKHem) adalah untuk merampas semua barangan tajam dan bahan terlarang daripada beg murid.

"Dalam kelas saya, Tahun 3, hasil rampasan hanya beberapa gunting dan mainan kecil.

"Namun, lain pula keadaannya di kelas Tahun 6 apabila beberapa telefon bimbit pelajar turut dirampas," tulisnya.

Lebih mengejutkan, semakan kandungan di dalam telefon tersebut dipenuhi dengan gambar guru yang dijadikan bahan gurauan dan pelekat (sticker) di aplikasi WhatsApp.

"Ada juga gambar ustaz KAFA yang sedang baring di surau, kononnya diambil ketika sesi mengaji.

"Itu belum lagi kami selidik perbualan mesejnya. Baru Tahun 6. Nampak kesannya kalau ibu bapa tak pantau telefon pintar anak," kongsinya.

Beliau turut menegaskan bahawa ibu bapa tidak boleh menyerahkan sepenuhnya tanggungjawab mendidik dan membimbing anak kepada pihak sekolah semata-mata.

"Jangan salahkan anak 100 peratus kerana kadangkala ibu bapa sendiri menjadi penyebab.

"Tolong bangun ibu bapa, selamatkan amanah ALLAH, selamatkan anak-anak sendiri.

"Sampai bila cikgu sahaja yang kena selamatkan anak-anak anda," ujarnya.

Tindakan tersebut bagaimanapun menimbulkan pelbagai persoalan termasuk memeriksa kandungan gajet tanpa keizinan ibu bapa serta kebenaran membawa gunting ke sekolah.

Guru berkenaan justeru tampil memberi penjelasan terhadap persoalan tersebut.

"Ibunya yang suruh buka telefon pintar itu memandangkan dia tak dapat nak ambik telefon anaknya di rumah.

"Memang kita akan pulang semula barang yang sudah dirampas beserta amaran sebelum balik sekolah.

"Sebab dah beri peringatan banyak kali hanya gunting mesra kanak-kanak (tidak tajam) yang dibenarkan bawa," jelasnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram