Warna sebagai identiti, ini 7 jenama fesyen dengan rona ‘trademark’ mereka sendiri


  • Gaya
  • Isnin, 13 Okt 2025

Merah Louboutin dan biru Tiffany kekal antara warna paling ikonik dalam dunia fesyen. — Media sosial

WARNA boleh jadi tanda pengenalan paling kuat bagi sesuatu jenama. Cukup satu rona yang konsisten, orang sudah tahu siapa di sebaliknya.

Itulah bukti bahawa dalam dunia fesyen, warna mampu bercerita tanpa sebarang kata.

Beberapa jenama mewah mengangkat warna tertentu sebagai lambang identiti mereka.

BACA LAGI: 'Tak mampu balas pengorbanan isteri', suami syukur dapat zuriat sulung lepas 17 tahun menanti

BACA LAGI: Kes serangan seksual pelajar di Melaka: Selebriti wanita gesa tanggungjawab bersama lindungi anak-anak, jangan hanya bergantung pihak sekolah

Berikut antara warna ikonik yang berjaya mengekalkan keaslian dan pengaruhnya hingga ke hari ini:

1. Tiffany & Co. - Tiffany Blue (Pantone 1837)

Warna biru kehijauan lembut ini dinamakan sempena tahun penubuhan Tiffany & Co., iaitu 1837.

Sejak lebih seabad lalu, kotak hadiah berwarna biru menjadi simbol kemewahan dan keanggunan klasik yang membezakan Tiffany dari mana-mana jenama barang kemas lain.

Ia juga menjadi salah satu warna yang paling mudah dikenali dalam industri barangan mewah, hingga mendapat perlindungan tanda dagangan rasmi.

2. Christian Louboutin – Louboutin Red (Pantone 18-1663 TPX)

Tapak kasut merah Louboutin bukan sekadar elemen rekaan, tetapi tanda keyakinan dan daya tarikan wanita moden.

Warna ini didaftarkan secara rasmi sebagai tanda dagangan pada tahun 2008 dan kini menjadi antara identiti paling dikenali dalam sejarah fesyen.

Rona merah yang berani ini melambangkan kekuatan dan semangat penuh keyakinan, seiring dengan identiti jenama yang meraikan keberanian serta keghairahan dalam setiap langkah.

3. Valentino - Valentino Red

Pereka Itali tersohor, Valentino Garavani percaya setiap wanita tampak lebih yakin dalam warna merah.

Dari kepercayaan itu lahir Valentino Red, rona merah yang berani dan penuh tenaga, diperkenalkan sejak era 1960-an dan kekal menjadi identiti abadi jenama tersebut di pentas fesyen dunia.

Ia melambangkan keanggunan abadi serta pesona klasik yang kekal menjadi inspirasi sehingga kini.

4. Barbie - Barbie Pink (Pantone 219 C)

Merah jambu terang ini membawa makna ceria, yakin dan berani untuk mengekspresikan.

Sejak diperkenalkan pada era 1950-an, warna ini menjadi simbol gaya hidup feminin dan optimistik.

Selepas kejayaan filem Barbie pada tahun 2023, rona ini kembali menjadi tumpuan dalam dunia fesyen dan rekaan dalaman, mengukuhkan kedudukannya sebagai warna ikonik dalam budaya pop moden.

 

5. Louis Vuitton - Louis Vuitton Saffron

Warna kuning keemasan ini memberikan sentuhan mewah dan klasik pada pembungkusan serta kempen visual Louis Vuitton.

Walaupun tidak memiliki kod Pantone rasmi, rona saffron ini diiktiraf sebagai sebahagian daripada identiti visual rumah fesyen tersebut.

Ia sering digunakan untuk menyerlahkan aura keanggunan dan tradisi yang menjadi sebahagian daripada identiti warisan jenama itu.

6. Hermes - Hermes Orange (Pantone 165 C)

Pada asalnya digunakan sebagai warna pembungkus sementara semasa Perang Dunia Kedua, Hermes Orange akhirnya menjadi warna ikonik yang sinonim dengan jenama Perancis tersebut.

Rona jingga terang ini melambangkan tenaga, optimisme dan kemewahan yang sederhana, sekali gus mencerminkan semangat Hermes selama lebih tujuh dekad.

7. Bottega Veneta - Bottega Green (Pantone 2425 C)

Warna hijau terang ini diperkenalkan semula oleh Daniel Lee sebagai simbol keberanian dan kesegaran moden.

Bottega Green kini menjadi identiti visual baharu jenama Itali tersebut, melambangkan gaya minimal namun berani yang mudah dikenali di mana-mana. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram