
KEJADIAN tragis membabitkan seorang pelajar perempuan Tingkatan Empat dikatakan maut ditikam pelajar lelaki di sebuah sekolah menengah di Petaling Jaya, Selangor pagi Selasa mencetuskan kebimbangan besar dalam kalangan masyarakat terutamanya ibu bapa.
Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian yang berlaku sekitar pukul 9.30 pagi manakala suspek berusia 14 tahun telah ditahan untuk siasatan lanjut.
Ketua Polis Negara, Datuk Seri Khalid Ismail berkata, motif kejadian masih dalam siasatan dan kedua-dua pelajar berkenaan saling mengenali.
“Siasatan masih dijalankan dari semua sudut. Buat masa ini, kita belum menolak sebarang kemungkinan,” katanya.
BACA LAGI: Kerajaan perkukuh nilai kemanusiaan, RM10 juta bantu pelarian, fokus lindungi kanak-kanak
Insiden itu mencetuskan desakan lantang di media sosial agar Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) segera mempertingkat kawalan keselamatan termasuk memasang kamera litar tertutup (CCTV) di sekolah.
Antara yang menzahirkan gesaan itu ialah Ahmad Hazwan Rashid yang beranggapan tindakan seterusnya perlulah diambil dengan segera.
“Mohon pasang CCTV di semua sekolah, tak kisah institusi awam atau swasta. Jangan tunggu tragedi seterusnya baru nak bertindak. Keselamatan pelajar mesti jadi keutamaan," katanya.
Seorang guru, Hidayah pula berpendapat bahawa ibu bapa perlu memantau dengan lebih serius kandungan yang menjadi tontonan harian anak-anak.
“Undang-undang kena diperketatkan. Ibu bapa perlu ambil tahu apa anak-anak buat dan tonton di rumah. Kadang-kadang mereka belajar daripada game dan video ganas.
"Sedih bila cikgu nak tegur, tetapi ibu bapa pula marah. Kita ibarat sedang melahirkan ‘tuan’, bukan pelajar,” katanya.
Ibu kepada dua anak, Nadia Adnan pula berharap wujud siasatan mendalam terhadap isu ini.
“Sebagai ibu bapa, saya risau anak kat sekolah sekarang. Satu kelas lebih 40 orang, mana sempat cikgu perhati semua. Bila jadi kes begini, siapa nak jawab?” ujarnya.
Sementara itu, Intan Haslina berpendapat kejadian tersebut mungkin berpunca daripada emosi remaja yang tidak stabil atau perasaan dendam.
"Kalau bukan kes buli, boleh jadi sebab dendam, cemburu atau sakit hati. Budak-budak peringkat usia 14 tahun ke atas ini, baru nak meningkat remaja.
"Darah muda katakan... Hati memang cepat panas, tetapi singkat fikiran. Dah berlaku, baru menyesal," katanya.
Pengguna lain, Izyanjamal pula menyentuh tentang pengaruh ideologi berbahaya dan isu kesihatan mental yang sering diabaikan.
“Tikam berkali-kali itu bukan sebab tak takut cikgu, tetapi kemarahan dalaman yang lama disimpan.
"Mungkin penyakit mental atau pengaruh ideologi toksik dalam konten internet,” katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram