
DALAM kehidupan selepas perceraian, bukan sahaja emosi yang diuji, malah hal-hal kewangan turut menjadi cabaran besar yang perlu diurus dengan bijak.
Baru-baru ini, tular satu luahan hati seorang lelaki berkongsi kisahnya di Facebook tentang bagaimana bekas isterinya bertindak memarahi beliau kerana menukar nama penerima hibah takaful daripada wanita berkenaan kepada anak mereka.
Lelaki itu menjelaskan, keputusan tersebut diambil dengan bersebab.
BACA LAGI: Lepas satu, satu kes berlaku, ibu bapa gusar, cadang pasang CCTV di sekolah, institusi pengajian
“Saya tukar nama penerima hibah kepada anak saja. Dia marah mengatakan saya tak kenang budi sebab lahirkan anak untuk saya.
"Tapi saya tanya balik, duit ratus ribu yang saya bayar masa cerai dulu untuk apa? Sudah pun declare di mahkamah bahawa itu adalah untuk tebus hak jagaan anak dan hadiah kerana lahirkan zuriat untuk saya,” tulisnya.
Malah, selepas beberapa bulan bercerai, bekas isteri tidak mengambil tahu tentang anak dan langsung tidak menghubungi, tapi tiba-tiba muncul untuk membantah perubahan nama penerima hibah tersebut.
Berikutan kisah itu, seorang usahawan dikenali sebagai Ahmad Humaizi, menjelaskan bahawa hibah takaful bukanlah sekadar hadiah semata-mata, tetapi amanah kewangan perlu dikendalikan dengan bijaksana terutama selepas berpisah.
“Apabila sudah berpisah, perubahan nama penerima hibah bukanlah soal dendam, tetapi tanggungjawab untuk memastikan harta ditinggalkan sampai kepada anak, bukan kepada bekas pasangan.
"Ini adalah langkah berani demi masa depan yang lebih terjamin,” katanya.
Hak bekas isteri dalam hibah takaful
Sementara itu, seorang ejen insurans, Noor Hidayu, pula menjelaskan, ramai tidak menyedari bahawa walaupun sudah bercerai, nama bekas isteri sebagai penerima hibah dalam polisi takaful masih sah dan tidak terbatal secara automatik.
Ini kerana kontrak takaful adalah sah dan tidak terikat dengan status perkahwinan.
“Oleh itu, jika suami tidak mahu bekas isteri menerima pampasan tersebut, tindakan bijak adalah menghubungi syarikat takaful untuk menukar nama penerima hibah kepada individu lebih sesuai seperti anak, ibu bapa, atau sesiapa yang dipercayai,” jelasnya.
Dalam perkembangan berkaitan, seorang peguam, Fadzli Rozali turut berkongsi bahawa menukar nama penerima hibah terus kepada anak-anak yang masih di bawah umur bukanlah penyelesaian terbaik.
“Menurut Akta Perkhidmatan Kewangan Islam 2013, jika penerima hibah adalah anak di bawah umur, wang takaful tersebut akan dibayar kepada ibu atau bapa yang masih hidup untuk diuruskan. Jadi, bekas suami atau isteri masih berpeluang untuk menguruskan wang tersebut demi kepentingan anak-anak,” katanya.
Beliau menambah bahawa cara paling tepat adalah dengan membuat Amanah Takaful kepada Syarikat Amanah yang akan bertindak sebagai penjaga amanah dan mengagihkan manfaat takaful kepada anak-anak mengikut arahan dan perancangan telah ditetapkan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram