
PENAMPILAN memukau Miss Grand Malaysia 2025, Viviana Lin Winston mencuri perhatian ramai apabila beliau mempersembahkan kostum kebangsaan bertemakan Ratu Terabai Iban sempena pertandingan National Costume Competition pada Isnin.
Kostum rekaan pereka Raja disarungkan Viviana bukan sekadar memperlihatkan keindahan seni masyarakat Iban, malah turut mengangkat semangat juang dan kebijaksanaan wanita dalam budaya tersebut.
Menerusi perkongsian di Instagram, Viviana menjelaskan bahawa konsep Ratu Terabai Iban melambangkan sosok pemimpin wanita yang bukan hanya gagah di medan perang, tetapi juga menjadi pelindung warisan, tradisi dan semangat komuniti.
“Ratu Terabai Iban bukan sekadar seorang pahlawan, tetapi pelindung warisan iaitu seorang pemimpin yang menjadikan terabai (perisai) sebagai simbol kekuatan dalam menjaga rakyat, tradisi dan semangat bangsanya.
“Beliau mewakili keharmonian sempurna antara kelembutan wanita dan kekuatan seorang penjaga medan perang. Konsep ini menggambarkan keindahan bagaimana tradisi dan kepimpinan moden mampu wujud seiring,” tambah Viviana.
BACA LAGI: Kerajaan perkukuh nilai kemanusiaan, RM10 juta bantu pelarian, fokus lindungi kanak-kanak
Kostum agung itu menyerlah dengan dominasi warna perak dan putih, dihiasi unsur logam serta perincian manik halus yang melambangkan kemegahan dan keteguhan seorang pahlawan wanita.
Pada bahagian kepala menampilkan tanjak besar berukir motif flora dengan hiasan kristal, mencipta aura diraja yang memukau.
Sementara itu, bahagian tubuhnya disarung dengan lapisan fabrik bertekstur dan hiasan berjuntai, menyerupai pakaian tradisional Iban yang diolah semula dalam gaya moden.
Aksesori utama berupa terabai (perisai) yang dipegangnya menjadi lambang kekuatan, keberanian dan maruah bangsa.
Konsep Ratu Terabai Iban turut diinspirasikan daripada peranan Indu Ketua, iaitu wanita pemimpin dalam komuniti Iban yang memainkan peranan penting dalam membuat keputusan serta memelihara keharmonian masyarakat.
Penampilan Viviana bukan sahaja meraikan keunikan seni dan budaya etnik Iban, tetapi turut menyampaikan mesej pemberdayaan wanita melalui warisan, bahawa kekuatan, keindahan dan kepimpinan boleh berpadu dalam satu identiti yang megah. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram