
APABILA berbicara tentang kerjaya doktor, ramai membayangkan kehidupan yang stabil, berpendapatan tinggi dan selesa.
Namun, realiti bagi seorang doktor di Malaysia jauh berbeza daripada tanggapan tersebut.
Walaupun bekerja lebih 70 jam seminggu, berdepan syif panjang 28 jam tanpa rehat dan tekanan tugas yang berat, beliau mengakui masih belum mampu membeli rumah sendiri.
BACA LAGI: Teratak keluarga nan permai, rumah kayu dibina sejak 1988 kekal utuh, rekaan dalaman tak berubah
Segalanya bermula dengan kisah seorang pelajar yang memperoleh keputusan biasa di sekolah.
Beliau memperoleh 6A 1B dalam UPSR (Ujian Pencapaian Sekolah Rendah), 7A 1B dalam PMR (Penilaian Menengah Rendah) dan 4A dalam SPM (Sijil Pelajaran Malaysia).
Namun, ketagihan terhadap permainan dalam talian seperti 'Maple Story' menyebabkan prestasi akademiknya menurun.
"Selepas keputusan SPM keluar, ibu bapa saya sangat kecewa. Mereka duduk berbincang lama dengan saya dan waktu itulah saya mula sedar perlu berubah," katanya.
Disebabkan keputusan yang tidak melayakkan beliau mendapat biasiswa, ibu bapanya sanggup mengorbankan sebahagian besar simpanan untuk menghantarnya melanjutkan pelajaran ke luar negara dalam bidang perubatan.
Enam tahun di luar negara bukan mudah dengan bahasa asing, budaya berbeza serta hidup berdikari sepenuhnya.
Tekadnya hanya satu iaitu menamatkan pengajian dan pulang sebagai doktor.
Sebaik pulang ke tanah air, beliau mula menjalani latihan 'housemanship' di hospital kerajaan.
Dari awal lagi, beliau telah mendengar kisah ngeri tentang kerja 28 jam, tekanan tinggi dan layanan tidak adil terhadap doktor pelatih.
Namun semua itu menjadi nyata apabila beliau memulakan penempatan pertama di Jabatan Pediatrik.
"Saya baru balik dari luar negara, langsung tak biasa dengan sistem hospital tempatan. Setiap hari saya ditekan dan dinilai oleh pakar. Tiada siapa peduli berapa banyak A yang saya dapat dulu, yang penting sekarang ialah kerja mesti pantas dan tepat," jelasnya.
Beliau belajar dengan cepat dan dalam tempoh dua minggu mula mendapat kepercayaan pasukan.
Namun tugasnya tetap berat, ini termasuk mengambil darah bayi berulang kali hingga tangan kecil mereka penuh kesan jarum.
Selepas pediatrik, beliau berpindah ke ortopedik, pembedahan dan seterusnya ke obstetrik.
Pengalaman membantu kelahiran bayi menjadi antara detik yang tidak dapat dilupakan.
Namun antara semua jabatan, perubatan dalaman (internal medicine) dianggap paling mencabar.
"Jumlah pesakit terlalu ramai. Setiap hari rasa macam di medan perang. Kadang-kadang saya tertidur semasa menulis laporan keluar pesakit," ujarnya.
Beliau juga perlu bekerja dalam sistem syif panjang contohnya "red shift" dari 8 pagi hingga 5 petang, berehat empat jam, kemudian sambung dari 9 malam hingga tengah hari keesokan harinya.
Tekadnya hanya satu iaitu menamatkan pengajian dan pulang sebagai doktor. — Gambar hiasan/AI
Selesai housemanship, beliau ditempatkan di Hospital Pulau Pinang.
Di situ, beban kerja tidak berkurang, malah semakin berat.
"Dalam jabatan saya tiada houseman, jadi semua tugas kami, pegawai perubatan yang uruskan. Purata saya bekerja lebih 70 jam seminggu. On-call setiap lima hari, termasuk hujung minggu," katanya.
Tugasnya merangkumi klinik pesakit luar, kes kecemasan, rawatan wad, CPR (Cardiopulmonary Resuscitation), intubasi dan kes kritikal semuanya rutin biasa.
Selepas beberapa tahun berkhidmat, beliau mula sedar sesuatu yang pahit.
"Dulu waktu tinggal dengan ibu bapa, tak perlu fikir bil, makan minum semua disediakan. Tapi bila mula hidup sendiri, tengok harga rumah sekarang, bayaran bulanan boleh cecah RM3,000. Dengan gaji saya, memang tak mampu," katanya jujur.
Beliau menyedari bukan sahaja harga rumah yang tinggi, tetapi struktur gaji doktor kerajaan sendiri tidak lagi sepadan dengan kos sara hidup.
Ramai rakan sejawatan senior berusia 40-an hingga 50-an masih berjuang dengan jadual syif ketat dan pendapatan sederhana.
"Melihat mereka masih bekerja tanpa henti walau dah berpuluh tahun, buat saya fikir semula masa depan," ujarnya.
Akhirnya, beliau membuat keputusan berat apabila meninggalkan perkhidmatan kerajaan.
"Saya ada etika, tapi etika tak boleh bayar bil."
Beliau menegaskan bahawa keputusan itu bukan kerana hilang semangat kemanusiaan, tetapi kerana ingin hidup dengan lebih realistik.
"Orang selalu kata doktor jangan fikir tentang duit, mesti ada etika. Tapi saya bukan anak orang kaya. Ibu bapa saya habis simpanan untuk saya belajar perubatan. Saya tetap ada etika, saya sayang pesakit, tapi etika tak boleh bayar bil," katanya dengan nada tenang.
"Dulu saya ingat jadi doktor boleh hidup selesa, kelas pertengahan. Tapi sekarang, saya sedar ramai doktor masih berjuang, bukan untuk kaya, tapi untuk sekadar hidup," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram