Suami kongsi arwah isteri ceria jadi lesu, sangka selalu lenguh pinggang sebab pakai kasut tinggi rupanya...


  • Cinta
  • Selasa, 14 Okt 2025

Mohamad Firdaus mengenang detik-detik bersama arwah isterinya, Aya Nur Asyura Zakari yang meninggal dunia kerana kanser.

KONDISI disangka sekadar lenguh pinggang yang biasa rupa-rupanya menjadi permulaan kepada ujian paling berat dalam hidup Mohamad Firdaus apabila isterinya, Aya Nur Asyura Zakaria disahkan menghidap kanser pankreas.

Luahan dikongsi Firdaus itu mengundang sebak dalam kalangan warga maya terutamanya mengetahui perjalanan isteri beliau melawan penyakit tersebut sehingga hujung nyawa.

“Isteri dulu lenguh di pinggang, sampai kena ambil injection tahan sakit. Ingat salah urat sebab angkat barang, sebab pakai kasut tumit tinggi… rupanya kanser,” katanya.

BACA LAGI: Kerajaan perkukuh nilai kemanusiaan, RM10 juta bantu pelarian, fokus lindungi kanak-kanak

BACA LAGI: Kes ibu Misha Omar: Pakar jelaskan bagaimana suplemen tidak sah dan steroid tersembunyi ancam kesihatan pesakit kronik

Menurutnya, keadaan isterinya pada awalnya tampak tidak serius. Namun selepas beberapa kali mendapatkan suntikan tahan sakit dan pemeriksaan lanjut di hospital pakar swasta, doktor mula mengesyaki sesuatu yang lebih serius.

“Selepas CT Scan dan Magnetic Resonance Imaging (MRI), doktor maklumkan ada ketumbuhan di pankreas. Ujian darah cancer marker sahkan… waktu itu rasa dunia terhenti. Awal Ramadan masa tu, berita paling kami tak sangka,” ujarnya.

Ceria jadi lesu

Firdaus berkata, isterinya yang dahulu ceria dan aktif semakin lemah hari demi hari.

Kanser yang menyerang semakin ganas, meragut sedikit demi sedikit nikmat kesihatan insan kesayangannya itu.

“Kadang tak sanggup tengok dia menahan sakit. Pernah saya berdoa kalau boleh, biarlah saya yang tanggung sama-sama. Tapi ALLAH lebih tahu,” luahnya.

Selepas beberapa prosedur seperti endoskopi, biopsi dan celiac plexus block dilakukan untuk mengurangkan rasa sakit, keadaan Aya dilaporkan semakin merosot.

Walaupun sempat dirancang untuk menjalani rawatan kemoterapi, kesihatannya terus menurun.

Firdaus berkata, seminggu sebelum pemergian, arwah banyak memberi pesanan dan sempat memeluk anak-anaknya satu persatu yang seolah-olah tahu masanya sudah hampir tiba.

“Pagi Hari Raya Aidiladha, dia gembira sebab mak dia baru sampai dari kampung. Sempat minta mak masak lauk kegemaran, tetapi tengah hari belum sempat jamah,” katanya.

Namun, detik bahagia itu bertukar menjadi perpisahan abadi apabila arwah tiba-tiba sesak nafas selepas dimandikan oleh suaminya sendiri.

“Dia kata, ‘tepuklah belakang saya, ada benda nak keluar tetapi tak keluar’. Masa tu saya cuba bantu, buat CPR, tapi tiada respon. Baru saya faham, yang dia maksudkan nak keluar tu sebenarnya rohnya,” ujar Firdaus dalam sebak.

Paramedik tiba sekitar pukul 2.25 petang dan mengesahkan pemergian Aya tepat pada 29 Jun 2023 bersamaan Hari Raya Aidiladha.

“Dia pergi dengan tenang. Dia ada cakap, kalau ditakdirkan meninggal, biarlah di rumah sebab di situ ada suami dan anak-anak. ALLAH makbulkan doanya,” tambahnya lagi.

Dalam luahannya, Firdaus turut mendoakan semoga isterinya dikurniakan ganjaran syahid atas kesakitan yang ditanggung.

“Berakhir perjuanganmu melawan sampai ke akhir hayat. Dari mandi sehinggalah ke liang lahad, saya sempurnakan tanggungjawab sebagai suami. Semoga kita bertemu semula di syurga abadi,” tulisnya.

Di ruangan komen, ramai pengguna media sosial turut menitipkan doa dan berkongsi pengalaman masing-masing.

Seorang pengguna, Nadiahazmie juga kini berjuang melawan kanser limfoma tahap empat.

“Pejuang kanser limfoma tahap 4 disini. Semoga terus positif,” katanya.

Sementara itu, pengguna lain, Azri Arif turut berkongsi simptom awal penyakitnya yang pada mulanya dianggap remeh.

“Lenguh tangan, tidur berpeluh, berat badan turun dan naik ruam. Dua minggu lenguh teramat sampai terjaga waktu tidur. Lepas itu baru tahu rupa-rupanya lymphoma,” katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram