
PUTERI Dubai, Sheikha Mahra kini menjadi perhatian bukan hanya kerana status diraja, tetapi pengaruh besar dalam dunia fesyen, gaya hidup mewah dan perniagaan.
Dengan nilai kekayaan dianggarkan antara AS$300 juta hingga AS$1.5 bilion (sekitar RM1.2 bilion hingga RM6.3 bilion), beliau dikenali sebagai figura fesyen berpengaruh di Asia Barat.
Dianggap antara puteri paling glamor di Arab, beliau sering mencuri tumpuan di media sosial dan dunia fesyen.
Mempunyai lebih 1.1 juta pengikut di Instagram, beliau gemar berkongsi gaya hidup mewah, perjalanan antarabangsa dan kolaboratif jenamanya bersama peminat.
Puteri Dubai ini dikenali kerana penampilannya yang menggabungkan tradisi Asia Barat dan moden. — Instagram/@_xtianna_
Setiap penampilan beliau ibarat pertunjukan fesyen. Ada kalanya mengenakan busana elegan moden dan ada ketikanya tampil menggayakan pakaian tradisional Asia Barat dengan sentuhan diraja.
Aksesori dan barangan kemasnya saja dikatakan bernilai jutaan ringgit menggambarkan perpaduan antara keanggunan warisan Arab dan cita rasa global.
Latar belakang, pendidikan
Pemegang nama Sheikha Mahra binti Mohammed Rashid Al Maktoum itu dilahirkan pada 26 Februari 1994. Beliau merupakan anak kepada Naib Presiden dan Perdana Menteri Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Pemerintah Dubai, Sheikh Mohammed Rashid Al Maktoum.
Ibunya pula ialah Zoe Grigorakos berasal dari Greece.
Beliau mendapat pendidikan di sekolah swasta di Dubai sebelum melanjutkan pelajaran dalam bidang Hubungan Antarabangsa di London, satu latar yang banyak mempengaruhi pandangan globalnya terhadap fesyen dan perniagaan.
Kisah peribadi inspirasi lancar jenama
Pada September 2024, beliau melancarkan jenama minyak wangi mewah, Mahra M1.
Wangian pertamanya, diberi nama Divorce (cerai), diinspirasi daripada kisah peribadinya selepas beliau mengumumkan perceraian dengan suaminya ketika itu, Sheikh Mana Mohammed.
Wangian tersebut dijual pada harga sekitar AS$272 (lebih RM1,000) dan menjadi simbol kekuatan dan kebebasan wanita moden.
Jenama Mahra M1 kemudian berkembang ke bidang kosmetik, menjadikannya antara usahawan wanita diraja pertama di Asia Barat yang menembusi pasaran kecantikan mewah.
Pengaruh dunia fesyen, kecantikan
Selain membina jenama sendiri, beliau dikenali kerana menyokong pereka tempatan UAE dan sering hadir ke acara fesyen antarabangsa seperti Paris Fashion Week dan Dubai Fashion Week.
Walaupun tiada pengesahan rasmi mengenai kerjasama tetap dengan mana-mana model atau rumah fesyen global, penampilannya di acara fesyen utama sering menjadi perhatian media, menjadikan beliau duta tidak rasmi gaya hidup diraja moden.
Dalam kehidupan percintaanya, beliau mengumumkan pertunangannya dengan penyanyi rap Amerika, French Montana pada Ogos lalu selepas setahun bercerai.
Beliau turut memuat naik foto cincin pertunangan berlian 11 karat yang dianggarkan bernilai AS$1.1 juta (kira-kira RM9 juta).
Cincin itu direka oleh pereka barang kemas terkenal, Eric Da Jeweler dengan potongan berlian zamrud besar di bahagian tengah dan dikelilingi batu berlian kecil.
Gaya hidup mewah, cinta seni
Selain itu, beliau memiliki koleksi kereta mewah seperti Rolls-Royce, Lamborghini dan Ferrari serta meminati kuda dan haiwan eksotik.
Difahamkan, pendapatan bulanannya dianggarkan sekitar AS$5 juta (kira-kira RM21,000).
Namun di sebalik kemewahan, beliau aktif dalam kerja kebajikan, terutama bagi kanak-kanak kelainan upaya dan projek pemberdayaan wanita.
Beliau sering menekankan mesej bahawa fesyen dan kecantikan bukan sekadar simbol kemewahan, tetapi juga platform untuk menzahirkan kekuatan dan keyakinan wanita.
Lambang gaya diraja moden
Sheikha Mahra membuktikan bahawa seorang puteri bukan hanya pewaris takhta, tetapi juga boleh menjadi ikon fesyen global dan usahawan berjaya.
Gabungan warisan diraja dan keanggunan moden menjadikan setiap penampilannya menggambarkan definisi baru tentang kemewahan, keanggunan dan kuasa wanita Asia Barat. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram