Di sebalik jahitan berikut 8 filem dedah realiti sebenar dunia fesyen


  • Gaya
  • Sabtu, 11 Okt 2025

Gucci's The Tiger menampilkan Barbara Gucci dalam sambutan keluarga, menggabungkan drama dan elemen sains fiksyen sambil mempamerkan koleksi La Famiglia. — Instagram/@gucci

PELANCARAN The Tiger oleh Gucci, iaitu filem pendek berdurasi 30 minit yang menandakan koleksi pertama Demna sebagai Pengarah Kreatif rumah fesyen itu membuktikan bahawa filem fesyen kini telah melangkaui fungsi iklan dan menjadi karya sinematik sebenar.

Namun projek tersebut bukan muncul begitu sahaja, sebaliknya hasil evolusi puluhan tahun filem dan dokumentari bergaya yang berani menyingkap wajah sebenar dunia fesyen.

Di sebalik setiap pertunjukan pentas yang tampak sempurna dan helaian majalah yang berkilau, tersembunyi dunia penuh tekanan, tarikh akhir ketat serta obsesi seni yang menuntut pengorbanan.

BACA LAGI: Murid sekolah kerajaan, murid OKU bakal terima bantuan awal persekolahan RM150, pihak sekolah akan serah kepada ibu bapa

BACA LAGI: Kelayakan i-Suri, bantuan awal kanak-kanak antara manfaat buat wanita, kelompok berkeluarga

Sementara orang ramai hanya melihat hasil akhir, beberapa filem fesyen menawarkan pandangan eksklusif ke dalam rahsia industri ini, daripada dunia majalah yang kejam sehingga ke bilik jahit haute couture yang penuh debaran.

Berikut lapan filem yang memperlihatkan apa sebenarnya berlaku 'di sebalik jahitan':

1. Gucci’s The Tiger (2025)

Arahan bersama Spike Jonze dan Halina Reijn, filem ini dibintangi Demi Moore, Edward Norton dan Kendall Jenner.

Ia mengisahkan Barbara Gucci yang mengumpulkan keluarganya untuk sambutan hari lahir dengan elemen sains fiksyen dan drama keluarga yang menonjolkan koleksi La Famiglia.

The Tiger mencerminkan bagaimana jenama mewah kini menghasilkan filem berunsur naratif serta berskala besar sebagai acara budaya, bukannya sekadar iklan produk.

2. The Devil Wears Prada (2006)

Dilakonkan Meryl Streep dan Anne Hathaway, filem ini kekal sebagai paparan fiksyen paling ikonik tentang dunia majalah fesyen.

Melalui gaya rekaan Patricia Field, ia menggambarkan tekanan serta hierarki kerja dalam penerbitan fesyen elit.

Monolog 'Cerulean' yang terkenal itu menerangkan bagaimana keputusan kreatif di peringkat tertinggi akhirnya mempengaruhi gaya berjuta-juta orang.

Sekuel filem itu dijangka tayang pada 2026.

3. The September Issue (2009)

Dokumentari oleh R.J. Cutler tersebut menyingkap kehidupan sebenar di sebalik majalah Vogue Amerika Syarikar (AS) ketika Anna Wintour dan Grace Coddington menyediakan isu terpenting tahun itu.

Ia menunjukkan Anna Wintour membuat keputusan yang realistik dan fokus kepada keuntungan atau kejayaan majalah, manakala Grace Coddington lebih mementingkan aspek seni dan kreativiti.

Konflik antara kedua pendekatan terlibat menunjukkan ketegangan antara dunia perniagaan dan dunia seni dalam fesyen.

4. Dior and I (2014)

Dokumentari intim tentang perjalanan Raf Simons menyiapkan koleksi haute couture pertamanya untuk Dior dalam masa lapan minggu.

Filem berkenaan memperlihatkan tekanan luar biasa, kehalusan kerja tangan dan detik cemas menjelang pertunjukan.

Setiap gaun indah ternyata hasil ratusan jam kerja teliti serta keberanian mencipta.

5. McQueen (2018)

Arahan Ian Bonhôte dan Peter Ettedgui, dokumentari itu menyelami minda genius serta penuh emosi pereka Alexander McQueen.

Ia menyingkap bagaimana penderitaan peribadi dan semangat ekstrem diterjemah menjadi pertunjukan fesyen yang menggoncang industri.

Alexander menunjukkan bahawa kehebatan fesyen sering lahir daripada tempat yang paling perit dan jujur.

6. Phantom Thread (2017)

Karya Paul Thomas Anderson itu menampilkan Daniel Day-Lewis sebagai pereka London era 1950-an yang obses dengan kesempurnaan.

Rekaan kostum Mark Bridges yang memenangi Oscar memperlihatkan ketelitian seni jahitan, sementara jalan ceritanya mendedahkan sisi gelap di sebalik keindahan haute couture, iaitu dunia di mana dedikasi dan obsesi sukar dipisahkan.

7. Chanel No. 5: The Film (2004)

Filem pendek dua minit arahan Baz Luhrmann, dibintangi Nicole Kidman dengan rekaan kostum oleh Karl Lagerfeld mengubah wajah pengiklanan mewah selamanya.

Dengan bajet jutaan dolar, ia membuktikan bahawa filem fesyen boleh menjadi karya seni serta budaya, bukan sekadar iklan.

8. Pret-a-Porter (Ready to Wear) (1994)

Komedi satira oleh Robert Altman ini membawa penonton ke tengah kekalutan Minggu Fesyen Paris.

Dibintangi Julia Roberts, Sophia Loren, Kim Basinger dan Lauren Bacall, ia memaparkan sisi lucu serta huru-hara di sebalik kemegahan pentas fesyen.

Filem ini mengingatkan bahawa fesyen, walau penuh seni dan cita rasa, tetap dunia yang tidak pernah benar-benar bebas daripada kekacauan dan drama. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram