'Otak mak awak dah mati', ibu meninggal dunia kelapa jatuh atas kepala, 6 tahun anak 'dihantui' rasa bersalah


  • Bonda
  • Isnin, 13 Okt 2025

Seorang anak tidak sempat menyelamatkan ibunya daripada terkena sebiji buah kelapa yang jatuh.

HANYA kerana sebiji buah kelapa, seorang lelaki kehilangan ibu tersayang insan paling berharga dalam hidup.

Namun lebih menyakitkan, tragedi itu berlaku di depan matanya.

Inilah kisah dikongsi oleh Fard Osman menerusi satu hantaran di media sosial yang menyentuh hati warga maya.

BACA LAGI: Cinta sehidup semati, suami isteri pengusaha Warung Aziz Satar maut dalam nahas LPT, pelanggan tetap rasai kehilangan

BACA LAGI: Cepat sentap, cepat menjauh selalunya rumah tangga tak bahagia, ketahui rahsia tenangkan jiwa — Dr Muhaya

Dalam perkongsian tersebut Fard menceritakan peristiwa tragis selepas sebiji kelapa jatuh tepat pada kepala ibunya sehingga meragut nyawa. 

“Otak mak awak dah mati, darah dah memenuhi otaknya. Kami tak mampu buat apa-apa. Berdoalah banyak-banyak," itulah kata-kata terakhir daripada doktor yang masih terngiang-ngiang pada telinga Fard hingga ke hari ini.

Namun paling menyayat hati, ketika kejadian itu, ibunya hanya berdiri kurang satu kaki di hadapan beliau.

“Aku cuma tengok kelapa tu jatuh tepat atas kepala mak… Hampir setiap hari aku terbayang suara mak, ‘Aduhh, sakitnya,’ bila kelapa tu jatuh,” tulisnya.

Didiagnos PTSD

Akibat rasa bersalah yang menghantui dirinya, Fard mengakui hidupnya menjadi 'gelap' selama enam tahun selepas kejadian.

Beliau sering menggigil dan dihantui bayangan peristiwa itu sehingga perlu dirujuk ke Jabatan Psikiatri.

“Doktor diagnos Post-Traumatic Stress Disorder (PTSD) with panic attack. Tetapi aku tak peduli apa pun yang didiagnos. Aku cuma nak mak aku sahaja," katanya.

Menurutnya, beliau berulang kali menyalahkan diri sendiri, berasa tidak berguna kerana gagal berbuat apa-apa untuk menyelamatkan insan yang melahirkannya itu.

Dalam usaha memulihkan diri, Fard mula menunggang motosikal menjelajah seluruh Semenanjung Malaysia sebanyak tiga kali.

Bukan untuk berseronok, tetapi untuk mencari semula makna hidup dan kekuatan diri yang hilang.

“Aku keluar tunggang motosikal pusing semenanjung sampai tiga kali, semata-mata nak cari kekuatan diri aku… dan nak tahu apa sebab aku kena teruskan hidup tanpa mak," katanya.

Namun, selepas perjalanan yang panjang itu, beliau sedar jawapan yang dicari sebenarnya ada dalam dirinya sendiri.

Selepas 12 tahun berlalu, Fard akhirnya menemui ketenangan yang selama ini dicari.

“Aku jumpa kunci kekuatan tu dalam diri aku sendiri. Kuncinya apa? Reda," ceritanya lanjut.

Fard mengakui sebelum ini beliau hanya menyebut 'aku reda' pada bibir, tetapi hatinya masih belum menerima sepenuhnya takdir Tuhan.

Kini, beliau benar-benar faham makna sebenar reda iaitu apabila hati tidak lagi mempersoalkan ketentuan ALLAH.

“Walau hebat mana pun aku sebagai' kapten kapal', tanpa kemudi yang baik iaitu hati yang reda, aku tetap akan hanyut di lautan luas ini," katanya.

Di ruangan komen, ramai yang bersimpati, selain meluahkan masih lagi berperang dengan kehilangan yang turut dirasai mereka sendiri.

Seorang wanita, Juwita Afifah mengaku terdiam sebaik habis membaca kisah itu.

“Tak mampu nak nasihat apa-apa. Sebab inilah ujian terberat untuk setiap insan bernama anak," katanya.

Juwita kemudian menitipkan doa yang boleh diamalkan setiap anak buat ibu bapa masing-masing.

Doa mohon ampunan untuk ibu bapa:

ربنا اغفِر لِي ولِوالِدي ولِلمُؤمِنِين يوم يقُومُ الحِسابُ

"Ya ALLAH, ampunilah aku, kedua ibu bapaku dan seluruh orang mukmin pada hari terjadinya hisab.”

Sementara itu, Idderesmh yang baru kehilangan ibunya tidak sampai sebulan lalu akibat kanser masih lagi belajar menerima ketentuan ALLAH.

“Sabar tuan. Saya pun masih bersedih arwah mak meninggal dunia 21 hari lalu disebabkan kanser. Tak sangka mak yang sudah bebas kanser selama 8 tahun, bulan lalu tiba-tiba demam on off… Rupanya kanser mengganas balik tetapi dah tahap 4.

“Al-Fatihah untuk mak kita. Masih sukar nak terima, tapi kena reda. ALLAH menyayanginya," katanya.

Seorang lagi pengguna, Nur Aqlea mengingatkan bahawa apa yang berlaku bukan kebetulan, tetapi sudah ditulis dalam takdir Tuhan.

“Kelapa itu asbab sahaja, encik. Memang dah tertulis di Luh Mahfuz. Kematian ini tak sedetik cepat, tak sedetik lambat. Memang tepat pada waktunya.

“Saya pun tak layak nak cakap sabar untuk encik. Cuma empunya diri je yang mampu untuk belajar reda dengan takdir," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebookInstagramWhatsApp Channel dan Telegram