Cinta sehidup semati, suami isteri pengusaha Warung Aziz Satar maut dalam nahas LPT, pelanggan tetap rasai kehilangan


  • Cinta
  • Sabtu, 11 Okt 2025

Kenderaan jenis Toyota Hilux yang dinaiki hilang kawalan ketika hujan lebat di Kilometer 162.9, Kuantan, Pahang. — IPD Maran

PERJALANAN pulang sepasang suami isteri warga emas dari Cameron Highlands, Pahang berakhir dengan tragedi apabila kenderaan pacuan empat roda dinaiki mereka dikatakan terbabas di Lebuhraya Pantai Timur (LPT) petang Jumaat.

Mangsa, Aziz Awang, 68, dan isteri, Hasnah Mat Nong, 64, merupakan pengusaha Warung Aziz Satar yang cukup dikenali di Kemaman, Terengganu. 

Pasangan itu disahkan meninggal dunia di tempat kejadian selepas kenderaan jenis Toyota Hilux dinaiki mereka difahamkan hilang kawalan ketika hujan lebat di Kilometer 162.9, Kuantan, Pahang.

BACA LAGI: Peruntukan RM1.26 bilion perkasa kebajikan warga emas, Rangka Tindakan Penuaan Kebangsaan 2025–2045 bakal lancar November ini

BACA LAGI: Kerajaan perkukuh nilai kemanusiaan, RM10 juta bantu pelarian, fokus lindungi kanak-kanak

Kejadian berlaku sekitar pukul 7.30 malam ketika mereka dalam perjalanan pulang bersama beberapa pekerja.

Ketua Polis Daerah Maran, Superintendan Wong Kim Wai berkata, tiga pekerja pasangan itu dan seorang kanak-kanak berusia lapan tahun turut cedera dan kini dirawat di Hospital Temerloh, Pahang.

Siasatan awal mendapati, hujan lebat menyebabkan kenderaan terbabas ke longkang di bahu kiri jalan. 

Mayat pasangan itu dibawa ke Hospital Jengka, Pahang untuk proses bedah siasat. 

Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Di sebalik itu, pemergian pasangan berkenaan juga meninggalkan kesan mendalam dalam kalangan pelanggan tetap. 

Di media sosial, ramai pelanggan tetap berkongsi rasa sedih selepas mengetahui khabar itu. 

“Allahuakbar. Antara warung selalu saya singgah bila balik ke kampung arwah isteri," kata Mohamad Firdaus

"Saya sejak sekolah rendah sehingga beranak tiga jadi pelanggan tetap arwah. Pernah jadi ejen jualan bagi area Shah Alam. Terlalu banyak kenangan dengan arwah. Al-Fatihah," kata Sara Najwa. — Majoriti 

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram