
PENDEDAHAN awal kepada dunia hiburan menjadikan sebahagian kanak-kanak dan remaja cepat dikenali, namun dalam masa sama turut membuka ruang kepada kecaman dan kritikan terbuka di media sosial.
Fenomena itu menimbulkan persoalan mengenai sejauh mana anak muda bersedia dari segi mental untuk berdepan tekanan dunia populariti yang sering datang bersama pandangan dan penilaian masyarakat.
Kebimbangan itu tercetus selepas dua peserta program realiti Talk To My Manager (TTMM), Thalita Shuib, 12, anak kepada usahawan dan pelawak Shuib Sepahtu serta Ahmad Dayyan, 13, anak kepada penyanyi Siti Saerah menjadi tumpuan susulan pelbagai komen negatif yang diterima di media sosial selepas kemunculan mereka di pentas akhir baru-baru ini.
"Kadang kita lupa mereka ni budak lagi. Thalita baru darjah enam, Amad baru tingkatan satu. Tapi kena kecam macam dah dewasa.
"Ingat tak masa kita umur tu dulu, kita tengah belajar jadi manusia. Bukan bahan viral, bukan bahan cercaan," tulis @thenazrun menerusi akaun Threadsnya.
Sementara itu, beberapa pengguna media sosial lain turut menegur sikap segelintir warga maya yang dianggap terlalu 'seronok' mengkritik kanak-kanak secara terbuka.
"Orang Malaysia ni memang terkenal dengan buli siber. Kadang tak faham dengan budak kecil pun sanggup kutuk dan cakap benda bukan-bukan.
"Yang komen buruk tu tak ada adab ke sampai sanggup jatuhkan semangat orang lain?" kata @hrshrs9680 menerusi ruangan komen di sebuah video program berkenaan di Youtube.
Seorang lagi warga maya turut menegur sikap segelintir orang dewasa yang tanpa segan menulis komen menghina.
"Sakit hati baca komen orang dewasa, kebanyakan pangkat mak ayah. Kutuk budak 12, 13 tahun konon nak perhatian. Fikir logiklah, apa yang dia dapat pun? Ini budak yang masih belajar," tegas @ieza_prettyglamz.
Namun, ada juga yang berpandangan, jika seseorang memilih untuk menjadi artis, mereka perlu bersedia menerima kritikan dan pandangan masyarakat.
Pendapat itu dilontarkan di ruangan komen pada hantaran sama dibuat oleh @thenazrun.
"Mereka ada pilihan, sama ada nak mula sekarang atau bila dewasa. Tapi bila dah pilih sekarang, kena bersedia hadap netizen," tulis @official_erid_amaro.
Menyentuh pada perspektif didikan keluarga, seorang wanita berpandangan ibu bapa mesti memainkan peranan penting dalam mempersiapkan anak sebelum menceburi bidang seni yang berisiko terdedah kepada kecaman.
"Masa zaman kita kecil, kita menikmati zaman kanak-kanak tanpa tekanan. Mak ayah la patut persiapkan anak-anak bila dah putuskan untuk masuk ke bidang hiburan," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram