Walau isteri 'founder' kaya-raya, suami jangan malas keluar cari rezeki – Da'i Izzhar


  • Cinta
  • Ahad, 12 Okt 2025

Walau semakin ramai wanita berjaya dan berpendapatan tinggi, tanggungjawab mencari rezeki tetap terletak di bahu suami. — Gambar hiasan/Janaan AI

RAMAI wanita kini berpendapatan tinggi dan berjaya dalam kerjaya, malah ada yang menguruskan perniagaan sendiri hingga mampu hidup mewah.

Namun begitu, ia tidak boleh dijadikan 'tiket' untuk si suami culas soal nafkah kerana tanggungjawab mencari rezeki tetap terletak di bahu suami.

Pendakwah bebas, Da'i Izzhar Nazri menegaskan, lelaki tidak boleh bergantung kepada isteri sepenuhnya dalam hal nafkah walau atas dasar kasih atau persetujuan bersama.

BACA LAGI: Majlis resepsi Fattah-Amira sarat elemen klasik, berbusana tradisi Johor sentuhan moden rekaan Fiziwoo

BACA LAGI: Wujud suami tak ambil tahu isteri bersalin, biar kontang-kanting di hospital urus diri

Menerusi perkongsian beliau di Instagram, Izzhar berkata, suami yang tidak keluar bekerja hanya kerana isterinya berduit dikira sebagai melanggar perintah Allah.

"Kalau perempuan duit banyak macam mana pun, nak bagi pada suami boleh, itu hak dia. Tapi jangan larang suami keluar kerja," katanya.

Menurut beliau, kewajipan seorang suami adalah untuk keluar mencari nafkah dengan usaha sendiri walaupun hasilnya kecil.

"Sebab kewajipan seorang suami adalah untuk keluar cari nafkah dengan titik peluh dia sendiri. Walaupun dia bawa balik RM500 atau RM1000, tak apa. Bukan jumlah itu yang penting, tetapi usaha itu tanggungjawab," tegasnya.

Izzhar menambah, keberkatan sesebuah keluarga datang daripada rezeki hasil kerja suami.

"Isteri mesti dapat hasil titik peluh suami. Anak mesti dapat hasil titik peluh ayah. Sebab itu kalau suami sihat, dia kena keluar cari rezeki. Duit tak banyak tak apa, yang penting usaha," katanya lagi.

Beliau turut mengingatkan bahawa apabila suami enggan bekerja atau dilarang keluar mencari rezeki, maka keberkatan dalam rumah tangga boleh hilang.

"Bila suami tak keluar cari nafkah, telah berlaku maksiat dan pelanggaran perintah Allah. Tak ada rahmat, tak ada keberkatan sebab hari-hari berlaku pelanggaran perintah itu," jelasnya.

Dalam banyak kes yang dikendalikannya, Izzhar berkata, situasi sedemikian sering berakhir dengan pergaduhan apabila isteri mula merasa terbeban menanggung suami walaupun pada awalnya dilakukan atas dasar sayang.

"Mula-mula sebab kasih, sebab sayang. Tapi apabila suami buat hal sikit, isteri mula ungkit semua pemberian. Akhirnya, kasih yang dulu jadi beban," ujarnya.

Justeru, beliau menasihatkan agar setiap lelaki yang sihat dan berupaya tetap keluar mencari rezeki walaupun pendapatan isteri jauh lebih besar.

"Ini bukan soal siapa lebih kaya, tapi soal tanggungjawab. Nafkah itu amanah yang Allah letakkan atas setiap suami dan ayah," tegas Izzhar. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram