Berpegang pada prinsip ‘dilarang menyerah’, Norshafina wanita pertama raih gelaran Perajurit Muda Terbaik TUDM


  • Sukses
  • Ahad, 12 Okt 2025

Norshafina melakar sejarah sebagai wanita pertama menerima Anugerah Terbaik Keseluruhan dalam latihan TUDM. — Facebook/Tentera Diraja Udara Malaysia

PERBARISAN Tamat Latihan Perajurit Muda Udara (PjM U) Siri 69/25 melakar detik bersejarah apabila buat pertama kalinya dalam sejarah latihan ketenteraan TUDM, seorang wanita diumumkan sebagai penerima Anugerah Terbaik Keseluruhan.

Sebelum ini, pengiktirafan tersebut sentiasa menjadi milik pelatih lelaki bagi setiap siri latihan terdahulu.

Kejayaan bersejarah itu diraih oleh anak jati Segamat, Johor, PjM U (W) Norshafina Mohd Nooh.

BACA LAGI: 'Orang nampak sekarang hidup senang, tapi 5 tahun pertama perit', isteri terharu suami tak pernah biar keluarga kelaparan

BACA LAGI: Graduan dari keluarga susah lega, bantuan one-off RM1,000 bantu langkah pertama cari rezeki jauh

Norshafina mengakui dorongan ayahnya menjadi titik mula kejayaannya dalam TUDM. — Facebook/Tentera Udara Diraja Malaysia

Memetik perkongsian Tentera Udara Diraja Malaysia di Facebook, pemegang Diploma Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik dari Politeknik Ibrahim Sultan, Pasir Gudang itu turut dikenali sebagai atlet kriket negara.

Wanita berusia 26 tahun tersebut juga pernah mewakili Malaysia dalam Malaysia Super Women League 2024 di Bayuemas Oval, Klang yang menyaksikan pasukannya menduduki tempat keempat selain dua tahun berturut-turut membantu pasukan Johor meraih naib johan dalam Women Interstate Malaysia Cricket 2023 dan 2024.

Tambah perkongsian itu lagi, minat mendalam untuk menyertai Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) mula berputik hasil dorongan ayahnya yang menginginkan beliau mengikut jejak langkah sebagai anggota pasukan pertahanan negara. 

Dorongan itu semakin kukuh apabila rakan-rakan sepasukan dalam dunia kriket turut menggalakkan beliau menceburi bidang ketenteraan, menyedari dirinya seorang yang berdisiplin tinggi serta tidak mudah mengalah. 

Berpegang pada prinsip hidup 'dilarang menyerah', anak ketujuh daripada lapan beradik itu melihat setiap cabaran sebagai peluang untuk menguji kecekalan diri dan membuktikan kemampuan sebenar seorang wanita dalam medan ketenteraan. 

Ketabahan, semangat kepimpinan dan keperibadian yang tegas menjadikan beliau menonjol sepanjang tempoh latihan.

Ia sekali gus melayakkan dirinya menerima Piala Pusingan Panglima Tentera Udara yang menjadi pengiktirafan tertinggi bagi perajurit muda yang cemerlang dalam semua aspek latihan fizikal, akademik dan sahsiah. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram