KERAJAAN memperkukuh komitmen terhadap kebajikan warga emas dengan meningkatkan peruntukan kebajikan kepada RM1.26 bilion di bawah Belanjawan MADANI 2026.
Langkah itu bakal memberi manfaat kepada 180,000 warga emas di seluruh negara menerusi bantuan wang saku, sokongan sosioekonomi serta pengukuhan pusat aktiviti komuniti.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Belanjawan MADANI 2026 di Dewan Rakyat berkata, peningkatan peruntukan ini merupakan sebahagian daripada usaha menyeluruh kerajaan dalam mempersiapkan negara menuju status negara tua menjelang 2043.
BACA LAGI: Kerajaan perkukuh nilai kemanusiaan, RM10 juta bantu pelarian, fokus lindungi kanak-kanak
“Persediaan mesti dimulakan sekarang bagi menjamin kesejahteraan hidup warga emas sambil memperkukuh ekonomi penjagaan dan solidariti sosial,” katanya.
Sebagai langkah strategik jangka panjang, kerajaan turut akan menggubal Rangka Tindakan Penuaan Kebangsaan 2025–2045 yang bakal menjadi panduan utama dalam membentuk dasar dan pelan tindakan menyeluruh berkaitan penuaan di Malaysia.
Rangka tindakan itu dijangka diluncurkan semasa Persidangan New Frontiers on Care peringkat ASEAN pada November ini, sekali gus menandakan komitmen Malaysia dalam menangani isu penuaan populasi secara inklusif dan berdaya tahan.
Mengulas soal itu, seorang anak perempuan yang cekal menjaga bapa angkatnya, Salinah Adelinah Abdullah menyambut baik langkah kerajaan meningkatkan peruntukan bagi kebajikan warga emas.
“Saya bersyukur dan lega kerana kerajaan akhirnya melihat dan menghargai keperluan warga emas dan keluarga yang menjaga mereka. Peruntukan besar ini menunjukkan komitmen menjaga kebajikan golongan ini,” katanya kepada Majoriti.
Salinah berkata, beliau berharap agar peruntukan tersebut tidak sekadar menjadi angka di atas kertas, sebaliknya diterjemahkan melalui tindakan dan bantuan disalurkan kepada mereka yang benar-benar memerlukan termasuk warga emas berada di kawasan luar bandar.
“Saya berharap kerajaan bukan hanya menyalurkan bantuan kewangan, tetapi turut memberi sokongan berterusan dari aspek kesihatan, penjagaan jangka panjang, pusat komuniti serta integrasi sosial. Warga emas berhak hidup bermaruah dan tidak tersisih,” ujar Salinah.
Beliau turut menzahirkan harapan agar kerajaan tidak pernah menyisihkan nasib warga emas dan orang kurang upaya di Malaysia, seiring matlamat Belanjawan MADANI 2026 yang menekankan keprihatinan dan kesejahteraan untuk semua lapisan masyarakat.
"Semoga mereka (kerajaan) tak pernah menyisihkan nasib warga emas dan orang kelainan upaya (OKU) di Malaysia ni," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter,Facebook,Instagram,WhatsApp ChanneldanTelegram
