
DETIK kehilangan insan tercinta bukan mudah untuk diterima, apatah lagi bagi seorang wanita yang baru meniti bahagia bersama suami tercinta.
Itulah yang dirasai oleh Mija Hamid apabila takdir menentukan suaminya, Muhammad Farhan Ahmad pergi menghadap ILAHI pada Isnin setelah berjuang dengan kanser otak.
Dalam satu perkongsian di laman Instagram, Mija memuat naik coretan yang mengundang sebak ramai, menceritakan saat-saat terakhir bersama arwah suaminya yang disifatkannya sebagai lelaki terbaik dalam hidupnya.
“Kalaulah saya tahu saat lapkan badan awak itu momen terakhir kita, saya takkan lap, tetapi saya akan peluk awak, cium awak macam selalu bila saya perlukan booster. Tetapi saya tak perasan semua tu, sayang,” tulisnya.
BACA LAGI: Sebelum melangkah ke alam perkahwinan, ini 5 pesanan penuh makna seorang bapa untuk anak-anaknya
Menurut Mija, ketika itu beliau menyangka suaminya sedang beransur pulih apabila suhu badan sudah menurun.
Namun, kelegaan itu hanya sementara sebelum segalanya berubah sekelip mata.
“Lepas momen itu, semuanya jadi terlalu cepat. Saya harap sempat dengar nama saya keluar dari mulut awak, tetapi semua tak berlaku,” luahnya.
Mija turut berkongsi rasa terkilan kerana tidak dapat memandikan jenazah suaminya buat kali terakhir, namun reda dengan ketentuan Tuhan.
“ALLAH mungkin tahu saya masih tak kuat. Adik-adik arwah semua mandikan dia. Saya tahu mereka pun nak peluang terakhir untuk jaga abang mereka," katanya.
Pasangan ini dikatakan baru mendirikan rumah tangga tidak sampai setahun dan dikurniakan seorang cahaya mata yang masih kecil, mesra dipanggil Baby E.
Dalam luahan yang menyayat hati itu, Mija menzahirkan rasa cinta dan penghargaan terhadap arwah suaminya yang banyak membimbing dan menyembuhkan luka trauma silamnya.
“Farhan, andai ini saat terakhir kita, saya nak awak tahu yang awak bukan beban, tetapi anugerah paling indah dalam hidup saya. Walau sekejap masa kita, saya belajar banyak dari awak,” katanya lagi.
Mija juga berjanji akan terus menceritakan tentang suaminya kepada Baby E agar anak kecil itu membesar dengan mengenali kasih seorang bapa yang penyayang.
“Baby E mungkin tak kenal you, tapi saya akan cerita pasal awak hari-hari dekat dia. Doa saya memang untuk awak, sayang,” tulisnya.
Mija juga menzahirkan rasa syukur kerana diberi peluang menjadi isteri dan ibu dalam masa yang singkat.
“Terima kasih, sayang, sudi jadikan saya isteri dan ibu. Saya bangga dan bahagia dengan awak. Tiada lelaki terbaik dalam hidup saya selain Muhammad Farhan Ahmad," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram