
DALAM perjalanan menuju alam perkahwinan, nasihat dan pesanan daripada ibu bapa sering menjadi antara perkara paling bernilai untuk dijadikan panduan.
Begitulah yang dilakukan oleh seorang bapa apabila beliau memuat naik satu hantaran di media sosial berisi pesanan jujur, bersahaja namun bermakna untuk anak-anaknya sebelum mereka mendirikan rumah tangga.
1. Duduk rumah sendiri selepas berkahwin
Antara pesanan yang mendapat perhatian ramai ialah pesanan supaya anak-anak yang sudah berkahwin tinggal di rumah sendiri sama ada menyewa atau membeli asalkan memberi ruang privasi kepada pasangan dan keluarga kecil masing-masing.
“Lepas kahwin, tinggal kat rumah sendiri. Sewa atau membeli terserah agar anak dan isteri dapat ruang peribadi,” katanya.
Tinggal berasingan bukan bermaksud menjauhkan diri daripada ibu bapa, tetapi memberi ruang kepada pasangan untuk belajar mengurus hidup bersama.
Anak yang sudah berkahwin perlulah pandai mengurus anak masing-masing. — Gambar Hiasan
2. Jaga anak sendiri, jangan harapkan atuk dan nenek untuk menguruskan anak
Si bapa turut mengingatkan agar anak-anak bertanggungjawab terhadap keluarga masing-masing, khususnya dalam soal penjagaan anak.
“Bila dah ada anak, sila jaga sendiri atau hantar pengasuh. Atok nenek ini nak berehat. Sesekali nak hantar boleh, tetapi janganlah sampai budak itu sudah belasan tahun,” katanya.
Di sebalik gurauan itu tersirat kasih yang besar, iaitu mengingatkan bahawa setiap ibu bapa sudah pun menjalankan tanggungjawab mereka membesarkan anak, kini tiba giliran generasi baharu memikul amanah yang sama.
3. Beritahu lebih awal sebelum pulang ke rumah ibu bapa
Selain soal tanggungjawab berkeluarga, si bapa turut berpesan agar anak-anak tidak berasa terikat untuk kerap pulang ke rumah ibu bapa selepas berkahwin, namun tetap menjaga adab dan sopan.
“Tak perlu susah-susah balik atau telefon tiap-tiap minggu. Tetapi kalau nak balik, beritahu awal. Takut rumah tak ada orang. Kot-kot abah mama pergi Korea ke,” katanya berseloroh.
Lelaki itu memahami bahawa anak-anak berhak menikmati kehidupan mereka sendiri selepa berumah tangga, asalkan hubungan kekeluargaan tetap dipelihara dengan penuh hormat.
4. Tak perlu rasa bersalah kalau memilih tinggal di homestay, asalkan tahu berdikari
Si bapa juga menegaskan bahawa beliau tidak kisah sekiranya anak-anak memilih untuk menginap di homestay apabila pulang ke kampung, kerana baginya perkara itu bukan isu, malah satu tanda anak-anak sudah matang dan tahu mengurus diri.
“Abah nak duduk rumah kecil sahaja. Kalau balik raya tak cukup bilik, tak apa, boleh duduk homestay, kami tak kecil hati. Kalau nak tidur sini juga, pandai-pandailah selit mana-mana sama ada ruang tamu ke atau bawa khemah kat laman,” tulisnya.
5. Tidak mengharapkan sumbangan kewangan daripada anak-anak
Dalam satu lagi pesanan, si bapa menegaskan bahawa beliau dan isterinya tidak pernah mengharapkan wang daripada anak-anak selepas mereka berumah tangga.
“Tak perlu susah-susah hulur duit bulan-bulan. Kami okay. Tetapi kalau abang, kakak, adik tak cukup duit, beritahu. Abah boleh jual PS5 abah,” tulisnya dengan nada jenaka.
Hantaran berkenaan pantas menarik perhatian ramai warga maya, yang rata-ratanya berpendapat kata-kata si bapa merupakan panduan realistik tentang kehidupan seseorang selepas berkahwin.
Syada berkata, pesanan tentang menjaga anak sendiri amat dekat di hatinya kerana ibunya juga menekankan hal yang sama.
“Ya, yang nombor dua tu memang betul! Ibu saya pun selalu cakap, sekali-sekala tak apa nak hantar cucu spend time dengan atuk dan nenek. Tetapi janganlah sampai mereka kena jaga cucu 24 jam. She did her part raising us, now it’s our turn,” ujarnya.
Komen itu disambut dengan pelbagai persetujuan daripada pengguna lain yang turut mengakui ibu bapa mereka menasihatkan perkara serupa.
Sementara itu, Harisya berkongsi bahawa pesanan si bapa mengingatkannya kepada arwah kedua-dua ibu bapanya yang pernah menasihati abang dan kakaknya perkara sama sebelum mereka berkahwin.
“Mak cakap, duduklah di rumah sendiri. Nak masak telur goreng hari-hari pun tak apa. Bukan menghalau, tetapi supaya belajar layari bahtera sendiri. Bila duduk berasingan, aurat isteri dan anak pun lebih terjaga,” tulisnya.
Manakala bagi Arikushifu, pesanan si bapa itu seolah-olah menggambarkan kehidupan keluarganya sendiri yang telah lama mengamalkan prinsip berdikari.
“Apa yang tuan tulis tu, memang mak ayah saya dah buat bertahun-tahun. Mama saya selalu pesan, anak balik mama boleh masak tiga hari je, lepas tu pandai-pandailah beli atau masak sendiri. Papa pula kata, bilik yang korang guna tinggalkan dalam keadaan baik. Papa tak nak tengok mama penat kemas lepas anak balik,” katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram