Adik-beradik saling tenangkan diri tunggu paramedik, cemas ibu sesak nafas akibat alahan teruk


  • Bonda
  • Jumaat, 10 Okt 2025

Dua beradik tersebut berpelukan demi menenangkan diri masing-masing sebaik pihak polis tiba di rumah mereka. — TikTok/@s_lou1

TANGISAN cemas disusuli dengan pelukan bagi menenangkan diri masing-masing.

Itulah detik menyentuh hati dua beradik yang sempat menyelamatkan nyawa ibu mereka selepas wanita itu mengalami serangan kejutan anafilaksis akibat reaksi alahan teruk di rumah dipercayai di sebuah bandar di Amerika Syarikat (AS) akhir September lalu.

Dalam situasi getir yang dirakam kamera litar tertutup (CCTV) itu, kedua-dua kanak-kanak terbabit dilihat cuba bertenang selepas berjaya menghubungi bantuan kecemasan bagi menyelamatkan ibu mereka.

BACA LAGI: 'Belum puas nak main dengan adek', budak 4 tahun meninggal dunia akibat Influenza A di Sarawak

BACA LAGI: [VIDEO] Isteri diplomat kongsi 7 perkara dilakukan suami bantu ‘survive’ di perantauan

Melalui video dikongsikan ibu mereka, Sarah Lou di TikToknya, kedua-dua kanak-kanak lelaki dan perempuan itu dilihat saling berpelukan di luar rumah menenangkan diri sebaik pegawai polis dan seorang wanita difahamkan nenek mereka tiba.

"Saksikan bagaimana anak-anak saya saling menenangkan antara satu sama lain, datuk dan nenek mereka bergegas ke rumah saya dan seorang anggota polis memberi mereka high five selepas mereka menyelamatkan nyawa saya," tulis Sarah di ruangan kapsyen.

Walaupun masih kecil, mereka kelihatan cuba mengawal ketakutan selepas berjaya menghubungi talian kecemasan bagi mendapatkan bantuan.

Tidak lama kemudian, paramedik dan datuk mereka tiba, sementara pegawai polis yang berada di lokasi sempat memberi high five kepada dua beradik itu sebagai tanda penghargaan atas keberanian mereka.

Momen yang mendapat jumlah tontonan lebih 18 juta itu mencuri perhatian ramai pengguna media sosial yang memuji kematangan dan ketenangan mereka dalam situasi genting.

Dalam perkongsian susulan, Sarah menjelaskan beliau sebenarnya mengalami reaksi alahan teruk sehingga sukar bernafas.

"Saya mengalami reaksi anafilaksis, tetapi kami masih belum tahu punca sebenar. Doktor mengesyaki mungkin embolisme pulmonari yang mencetuskan tindak balas histamin," katanya.

Tambah beliau, kejadian tersebut turut memberi kesan emosi kepada keluarga mereka dan kini mereka sedang mendapatkan khidmat kaunseling.

Sarah turut berkongsi bahawa beliau kini sedang perlahan-lahan kembali bekerja selepas tempoh pemulihan panjang akibat keadaan kesihatannya.

"Saya hanya mahu teruskan hidup seperti biasa dan menjaga anak-anak saya," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram