MFW25 diiktiraf MBOR, pentas peragaan terpanjang 1.075km, rai 'streetwear' simbol ekspresi generasi muda


  • Gaya
  • Khamis, 09 Okt 2025

MFW25 meraikan kreativiti pereka muda tempatan sambil mencipta sejarah dengan penganjuran pentas peragaan terpanjang di Malaysia. — Instagram/@jwanheah

MINGGU Fesyen Malaysia (MFW25) anjuran STYLO International kembali mencetuskan fenomena dalam industri fesyen tanah air dengan meraikan kreativiti pereka muda dan pelajar fesyen tempatan di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL).

Tahun ini, acara berprestij itu mencipta sejarah apabila pentas peragaan sepanjang 1.075 kilometer (km) diiktiraf Malaysia Book of Records (MBOR) sebagai Pentas Peragaan Terpanjang di Malaysia, sekali gus mencatat satu pencapaian membanggakan buat industry fesyen negara.

Bertemakan streetwear (gaya jalanan), MFW25 mengetengahkan semangat berani, moden dan dinamik yang mencerminkan gaya hidup generasi muda negara.

BACA LAGI: Murid bukan sekadar menghafal, sistem KP2026 ubah cara belajar pra sekolah lebih kreatif dan dwibahasa

BACA LAGI: Misi Flotilla diteruskan, kenali 5 Srikandi Malaysia berjuang di laut Gaza

Bon Zainal (tiga dari kanan) dan Tengku Sulaiman Shah Ibni Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj (tengah) ketika penyerahan sijil pengiktirafan MBOR oleh Jwan Heah. — Instagram/@jwanheah

Pengerusi Bersama Stylo International, Bon Zainal berkata, streetwear adalah simbol ekspresi generasi muda yang berani dan kreatif.

"Ia bukan sekadar gaya berpakaian, tetapi bahasa budaya yang melambangkan identiti dan keaslian diri. Inilah semangat yang kita tonjolkan kepada dunia bahawa Malaysia mampu berdiri sama tinggi dengan fesyen global," katanya.

Pentas fesyen tersebut menampilkan hasil kerja pelajar dari seluruh negara termasuk Kuala Lumpur, Perak, Terengganu dan Kelantan serta pereka dari Malaysian Bumiputra Designer Association (MBDA).

Warisan budaya turut diberi penghormatan menerusi segmen pembukaan Ratu Kebaya dan Dewi Hijab Malaysia sebagai simbol keanggunan dan pemerkasaan wanita berhijab.

Acara diteruskan dengan peragaan rekaan pelajar serta pereka muda, disusuli penghormatan kepada aktivis Malaysia dalam misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla.

Pentas peragaan sepanjang 1.075 km di MFW25 diiktiraf sebagai pentas terpanjang di negara oleh MBOR. — Instagram/@jwanheah

Persembahan pula menampilkan model kanak-kanak dan remaja dari Pulau Pinang dengan latar bunyi alam yang menenangkan.

Majlis berkenaan turut menyaksikan penyerahan sijil pengiktirafan MBOR oleh Ketua Pegawai Operasinya, Jwan Heah kepada penganjur di hadapan hampir 300 tetamu.

Hadir sama memeriahkan acara ialah Tengku Laksamana Selangor, Yang Amat Mulia Tengku Sulaiman Shah Ibni Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj, Pengarah Urusan Kumpulan WTCKL, Datuk Seri Dr. Irmohizam Ibrahim dan Pengerusi STYLO International, Datuk Nancy.

Selain pertunjukan fesyen, MFW25 juga dimeriahkan dengan Streetwear Chic Market, persembahan muzik dan pertandingan OOTD dengan hadiah tajaan Park Inn by Radisson serta Klana Resort, menjadikan MFW25 simbol kebanggaan negara. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram