
DALAM filem thriller psikologi After The Hunt arahan Luca Guadagnino, salah seorang bintangnya, Julia Roberts tampil dengan gaya yang ringkas tetapi elegan.
Wataknya sebagai Profesor Yale memakai sut krim, seluar labuh, blazer dan baju berkolar, memaparkan imej seorang wanita praktikal, berstail dan memiliki cita rasa tinggi.
Tambahan pula, barang kemas emas besar yang dipakainya memberikan dimensi tambahan kepada penampilannya, sekali gus menandakan watak itu mempunyai pelbagai personaliti yang lebih mendalam daripada sekadar pakaian dan aksesori.
BACA LAGI: Wanita periang, aktif maraton meninggal dunia, doktor salah diagnosis sekadar alahan biasa
Selepas bertahun-tahun berkecimpung dalam dunia fesyen, Ilaria Icardi mula menceburi bidang aksesori. — Agensi
Di situlah Ilaria memainkan peranan. Pereka Itali itu bertanggungjawab menyediakan koleksi barang kemas yang melengkapkan penampilan Julia.
Antara rekaan yang dipakai termasuk gelang emas 18 karat, loket kaca pembesar emas pada rantai panjang dan cincin enamel berlian yang besar.
Ilaria, 53, dibesarkan di Valenza, Itali yang terkenal dengan pengeluaran barang kemas halus.
Beliau menimba pengalaman luas dalam dunia fesyen di Milan, Paris dan London serta pernah bekerja dengan jenama antarabangsa seperti Etro, Hugo Boss, Yves Saint Laurent, Celine, Victoria Beckham dan Bottega Veneta.
Gaya beliau terkenal dengan sentuhan klasik dan minimalis, namun tetap menampilkan elemen unik yang dipadankan secara harmoni, menjadikan setiap rekaan menonjol dengan identiti tersendiri.
Koleksi barang kemas baharunya yang dimulakan pada 2020 bersama abangnya Lorenzo, merujuk kepada perjalanan hidupnya serta koleksi lama keluarganya.
Beliau menekankan bahawa hampir semua rekaan yang dihantar untuk watak Julia digunakan dalam filem, menunjukkan bahawa barang kemas bukan sekadar aksesori tetapi juga pelengkap watak dan visual cerita.
Koleksi barang kemas bernama Ilaria Icardi dipakai oleh watak Julia Roberts dalam filem After Thu Hunt. — Agensi
Selain itu, Ilaria menekankan kepentingan hubungan peribadi antara pereka dan pemakai.
Kini, beliau menguruskan koleksi kecil dengan kira-kira 100 pelanggan di seluruh dunia, membolehkan mereka membeli, menyesuaikan atau mengubahsuai rekaan mengikut citarasa sendiri.
Setiap rekaan mengekalkan estetika elegan dan berkelas sambil menampilkan keseimbangan antara kesederhanaan dan keunikan, sesuatu yang mencerminkan pengalaman luas Ilaria dalam dunia fesyen antarabangsa.
Beliau sendiri percaya bahawa fesyen adalah tentang kebebasan dan ekspresi diri.
Pengalaman kerjanya di London, Paris dan Milan membentuk perspektifnya terhadap gaya, klasik tetapi fleksibel, berdisiplin tetapi masih menyenangkan.
Koleksi barang kemasnya kini bukan sahaja aksesori, tetapi juga cerminan identiti dan kreativiti, menjadikan setiap helaiannya istimewa dan bermakna. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram