
PELAKON dan model, Mimi Lana terus lantang bersuara mengenai situasi di negara 'tembikai' dan menzahirkan sokongan kepada delegasi antarabangsa yang kini menyertai misi kemanusiaan ke wilayah bergolak itu.
Dalam hantaran terbaharu di akaun Threads miliknya pada Isnin, Mimi atau nama sebenarnya Mini Rozaiana Zainal Abidin, 30, memanjatkan doa agar keselamatan semua sukarelawan yang terlibat dalam misi Global Sumud Flotilla dilindungi daripada sebarang bahaya sepanjang perjalanan ke negara terlibat.
"Ya ALLAH, lindungilah setiap jiwa di atas kapal utama Conscience yang membawa 100 delegasi antarabangsa dari 25 negara termasuk sembilan rakyat Malaysia menuju ke sana (negara berkenaan).
"Kurniakanlah mereka keselamatan, kekuatan dalam ketakutan dan keberanian dalam perjuangan. Permudahkanlah perjalanan mereka dan sampaikanlah bantuan mereka dengan selamat," tulisnya.
BACA LAGI: Setiap posisi maksud berbeza, 6 kedudukan bayi dalam rahim penentu ibu mudah bersalin atau tidak
Beliau turut berdoa agar langkah mereka menjadi amal kebaikan dan bukti cinta terhadap kemanusiaan.
Doa tersebut menerima ribuan tanda suka daripada warga maya yang turut menitipkan harapan agar misi itu dipermudahkan dan semua peserta kembali dengan selamat.
Sebelum ini, isteri kepada pelakon, Syafiq Kyle itu turut memuat naik beberapa hantaran menentang tindakan kejam rejim Zionis terhadap aktivis flotila yang membawa bantuan kemanusiaan.
Dalam salah satu hantarannya yang lain, beliau mengecam layanan tidak berperikemanusiaan apabila para aktivis dipaksa melutut selama lima jam tanpa akses kepada air, ubat-ubatan dan peguam.
"Mereka datang membawa bantuan, bukan senjata. Ini bukan pertahanan, ini penghinaan terhadap kemanusiaan," jelasnya yang turut menggesa pembebasan segera semua aktivis yang ditahan.
Bagi Mimi, keberanian para sukarelawan yang sanggup mempertaruhnya nyawa demi membantu mangsa perang menjadi lambang kekuatan sebenar kemanusiaan.
Tegasnya, suara dan solidariti masyarakat dunia perlu terus bergema.
"Mereka mahu dunia berdiam diri, tetapi kita tidak akan diam. Bumi Anbiya itu tidak akan dihapuskan," katanya.— Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram