Intan Najuwa, Che Ta desak keadilan Zara Qairina tanpa pilih kasih, salah perlu dihukum


  • Bonda
  • Jumaat, 22 Ogos 2025

Intan Najuwa (kiri) dan Che Ta (kanan) lantang bersuara tentang isu Zara Qairina.

TRAGEDI kematian pelajar Tingkatan 1, Zara Qairina mencetuskan kebimbangan masyarakat apabila insiden itu dikaitkan dengan isu buli di sekolah berasrama. 

Dua selebriti wanita juga berstatus ibu, Intan Najuwa dan Rozita Che Wan tampil menyuarakan solidariti dan mendesak keadilan ditegakkan tanpa sebarang kompromi.

Menerusi laman Threads, pelakon popular, Intan Najuwa menegaskan keadilan untuk Zara mesti bersih daripada rasuah tanpa pilih kasih.

Justice for Zara. Adik kecil ini berhak pada keadilan yang tulus, bersih tanpa noda rasuah dan pilih kasih. 

"Jangan sesekali biarkan wang jadi alasan untuk melepaskan yang bersalah. Yang salah tetap salah dan mesti dihukum… bukan sekadar membalas, tetapi sebagai peringatan agar tiada lagi anak kecil yang jadi mangsa,” katanya. 

BACA LAGI: Bukan calang-calang TPR wakili Zara Qairina, Nor Azizah juga kendali kes adik Bella, Ebit Liew

BACA LAGI: 'Kita perlukan keadilan sekarang!', Mimi Lana desak pelaku, pembuli Zara Qairina dikenakan hukuman setimpal

Beliau turut menitipkan doa agar kebenaran akhirnya dapat dibuktikan. 

“InsyaALLAH, kebenaran akan menyinari jalanmu dan keadilan akan ditegakkan,” tulis Intan lagi.

Sementara itu, Rozita Che Wan atau lebih dikenali sebagai Che Ta di Instagram mengakui tidak sanggup membayangkan penderitaan ibu Zara, Puan Noraidah, yang kehilangan anak sekelip mata.

“Kalaulah saya dekat tempat Puan Noraidah ni, macam mana untuk i hadap masalah ini seorang diri. Sebenarnya i mula-mula post dekat IG Story tentang kes Zara supaya orang nampak kemudian selepas tu saya muat naik pula di feed,” katanya.

Apabila ditanya sama ada anak perempuannya, Aaisyah Dhia Rana akan dihantar ke sekolah asrama, Che Ta menolak keras.

“Eh memang taklah dengan keadaan buli yang sekarang ni. Kes buli memang dari dulu lagi. Zaman i sekolah asrama pun ada kes buli. I sendiri pernah kena buli dengan senior. Kadang senior nak tunjuk dia lebih hebat daripada cikgu, sebab tu dia buli junior,” katanya.

Che Ta turut memberi kata semangat kepada keluarga mangsa agar tidak berasa sendirian. 

“Untuk ibu Zara Qairina, jangan rasa dia keseorangan sebab satu Malaysia tengah bangkit untuk menegakkan keadilan.

"Kita semua bersama-sama dengan dia sekarang ni,” katanya lagi.

Untuk rekod, Zara Qairina, 13, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha, Papar, Sabah ditemui tidak sedarkan diri di longkang asrama pada pukul 3 pagi, 16 Julai lalu sebelum disahkan meninggal dunia sehari kemudian.

Insiden itu mencetuskan persoalan besar mengenai keselamatan pelajar di asrama dan mencetuskan kebimbangan ibu bapa terhadap budaya buli yang seolah-olah tidak berkesudahan di sekolah berasrama penuh. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram