
TRADISI pertunangan masyarakat Muslim di China ternyata menyimpan keunikan tersendiri iaitu bukan sekadar diserikan dengan nilai budaya dan agama, malah turut memperlihatkan keindahan adat yang penuh simbol kasih sayang antara dua keluarga.
Itulah yang dikongsikan oleh seorang lelaki Muslim dari China, Eatai apabila beliau memuat naik rakaman suasana pertunangan sepupunya, Dawood di media sosial baru-baru ini.
Dalam hantaran tersebut, Eatai berkata, majlis berkenaan adalah pertunangan sepupunya yang berlangsung dalam komuniti Zheherenye iaitu kumpulan Muslim unik di China yang terkenal dengan topi tradisional lapan bucu.
Beliau turut menjelaskan bahawa pihak pengantin lelaki memberikan hantaran bernilai 300,000 RMB (sekitar RM177,000), selain pihak perempuan membawa barang kemas emas dan sebuah rumah sebagai dowry.
Rakaman itu turut menyingkap keindahan adat pertunangan masyarakat tersebut, dengan setiap upacara dijalankan penuh tertib dan makna.
“Beginilah rupa majlis pertunangan di China. Inilah Dawood, sepupu saya. Hari ini hari pertunangannya,” katanya.
Menurutnya, jumlah hantaran besar itu merupakan pemberian daripada pihak lelaki kepada keluarga pengantin perempuan, namun sebahagian daripadanya biasanya akan dipulangkan semula sebagai tanda niat baik dan penghargaan.
Baginya, perkahwinan bukan sekadar penyatuan dua insan, tetapi juga hubungan antara dua keluarga yang dibina atas dasar kasih sayang, kepercayaan dan penghormatan.
"Semoga ALLAH memberkati ikatan ini dengan kedamaian, keberkatan dan kebahagiaan yang berpanjangan," katanya.
Perkongsian tersebut mencuri perhatian ramai pengguna di media sosial. Rata-rata warga maya meninggalkan komen positif dan mendoakan kebahagiaan pasangan itu.
“Terima kasih kerana berkongsi adat pertunangan yang begitu indah dan penuh penghormatan. Semua nampak bahagia… Semoga Allah memberkati Dawood dan tunangnya dengan kehidupan yang penuh kedamaian dan keberkatan!," kata Zahra.
“Masya-ALLAH, semoga ALLAH mencurahkan rahmat dan barakah kepada pasangan baru ini serta keluarga mereka," kata Raazia Khodabukus. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram