
HARI pendaftaran pelajar baharu memasuki alam universiti lazimnya sinonim dengan penampilan formal yang mana lelaki berkemeja kemas manakala wanita pula kebiasaannya memilih baju kurung.
Namun, seorang gadis 'memecahkan' tradisi itu selepas dilihat hadir ke hari pendaftaran pelajar baharu di Universiti Putra Malaysia (UPM) dengan mengenakan baju Kedah opah, sekali gus menjadi antara kelibat yang menjadi tumpuan.
Detik itu dikongsikan sendiri oleh institut pengajian awam berkenaan menerusi hantaran mereka di Facebook pada Ahad.
BACA LAGI: Ibu cekal niaga pasar borong, anak capai impian jejak kaki ke Universiti Oxford
BACA LAGI: Kasih Iris Leona beli kereta pertama, Proton eMAS 5 warna 'pink' sesuai dengan jiwanya
Gadis tersebut, Nur Qaireena Abdul Rahman menyarung baju Kedah rona kuning lembut bermotif flora jingga, dipadankan bersama kain batik bercorak flora berasaskan rona hijau mint.
Penampilannya itu dilengkapkan dengan tudung shawl hitam sederhana dan kasut sukan berwarna coklat lembut.
Menurut UPM, anak kelahiran Johor itu mendaftar sebagai pelajar Ijazah Sarjana Muda Sastera Kesusasteraan Melayu dengan Kepujian.
Pilihan busana tradisional itu bukan sekadar gaya, sebaliknya penuh makna buat Qaireena.
Kata UPM, beliau memilih untuk menggayakan busana tradisional itu sebagai simbolik mengenang kasih arwah neneknya.
Selain itu, beliau juga mendapat dorongan daripada gurunya yang juga bekas mahasiswa UPM untuk meneruskan legasi ilmu di universiti tersebut. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram