Makin ramai wanita bergelar usahawan, tapi bisnes lambat berkembang, punca pandang remeh 3 perkara ini


  • Sukses
  • Sabtu, 04 Okt 2025

Semakin ramai wanita berani melangkah ke dunia keusahawanan, namun cabaran keluarga, modal dan persepsi masih jadi penghalang utama kejayaan mereka. — Gambar hiasan/AI

BEBERAPA tahun kebelakangan ini, semakin ramai wanita tampil sebagai penggerak utama dunia keusahawanan.

Di Singapura, jumlah syarikat milik wanita melonjak daripada 16,300 pada 2010 kepada 36,000 pada 2022.

Sementara itu di Malaysia pula, laporan SME Corp menunjukkan lebih 20 peratus perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dimiliki wanita.

BACA LAGI: Rumah Toybox berusia 160 tahun di Goa, pesona warisan kontemporari dalam kedamaian desa

BACA LAGI: Wanita mangsa 'grooming' guru sejak usia 16 tahun tak dibela, kecewa ketidakadilan undang-undang

Ia menunjukkan angka yang dijangka terus meningkat setiap tahun.

Fenomena itu menunjukkan keberanian wanita meninggalkan zon selesa dan memilih jalan perniagaan sebagai kerjaya.

Ada yang beralih arah kerana mahu kebebasan masa, ada juga yang mahu lebih dekat dengan keluarga sambil tetap menjana pendapatan.

Namun, di sebalik peningkatan angka tersebut, satu persoalan besar timbul, mengapa perniagaan wanita berkembang lebih perlahan berbanding lelaki?

Hakikatnya, walaupun wanita menyumbang besar kepada ekonomi negara, cabaran yang mereka hadapi sering terselindung di sebalik cerita kejayaan.

Dari sudut pembiayaan, beban tanggungjawab keluarga hinggalah persepsi masyarakat, halangan-halangan kecil itulah yang sebenarnya menghambat momentum pertumbuhan perniagaan mereka.

1. Beban penjagaan keluarga jadi faktor tersembunyi

Bagi ramai usahawan wanita, kejayaan perniagaan bukan sahaja bergantung pada strategi pemasaran atau produk, tetapi juga kepada sokongan di rumah.

Ramai yang terpaksa membahagi masa antara membina bisnes dengan menjaga anak kecil atau mengurus keluarga.

Di Singapura, pengasas pusat permainan kanak-kanak Kidztropic, Sophia Ng, mengakui terpaksa menggunakan wang sendiri untuk menampung operasi syarikat kerana projeknya lambat dibuka.

Dalam masa sama, beliau tetap perlu memainkan peranan sebagai ibu.

Situasi itu turut dialami ramai wanita di Malaysia sebagai contoh usahawan butik, bakeri atau spa yang mengendalikan perniagaan dari rumah, tetapi sering lambat berkembang kerana kekangan menjaga anak.

Perkara itu sering dipandang remeh oleh masyarakat kerana menyangka wanita lebih selesa berniaga kecil-kecilan, sedangkan mereka terbeban dengan tanggungjawab berganda yang melambatkan pertumbuhan syarikat.

2. Terlalu berhati-hati ambil risiko, pinjaman

Kajian OCBC mendapati syarikat milik wanita di Singapura mencatat pertumbuhan jualan 30 peratus lebih perlahan berbanding syarikat lelaki dalam tempoh tiga tahun pertama.

Salah satu sebabnya kerana wanita lebih cenderung untuk elak meminjam dan memilih guna wang simpanan sendiri.

Di Malaysia, perkara itu juga ketara kerana ramai usahawan wanita terutamanya yang baru bermula lebih rela bootstrap (guna modal sendiri) kerana takut gagal membayar balik pinjaman.

Mereka mahu pastikan pelan perniagaan 100 peratus kukuh sebelum berani mohon pembiayaan bank atau pelabur.

Namun, langkah itu sebenarnya melambatkan pertumbuhan.

Satu realiti yang jarang dibincangkan kerana modal tambahan pada fasa awal boleh menjadi pemangkin besar untuk pemasaran, inovasi dan pembukaan cawangan baharu.

Dengan kata lain, sikap terlalu berhati-hati sebenarnya boleh merugikan potensi perniagaan wanita.

3. Bias jantina masih 'berakar'

Satu lagi isu yang sering dianggap remeh ialah stereotaip pelabur terhadap pengasas wanita.

Ada pelabur menganggap perniagaan yang dikendalikan wanita hanya projek hobi atau bisnes sambilan.

Di Singapura, ada usahawan wanita berkongsi pengalaman ditanya sama ada dia benar-benar serius dengan bisnes atau sekadar housewife dengan hobi.

Manakala di Malaysia, meskipun wacana kesaksamaan semakin berkembang, masih ada pandangan konservatif bahawa wanita tidak sesuai memimpin syarikat besar atau projek berskala tinggi.

Kajian antarabangsa menunjukkan wanita menerima 14 peratus lebih rendah dana pelaburan berbanding lelaki.

Bukan kerana idea mereka kurang bernas, tetapi kerana persepsi dan soalan yang dilontarkan pelabur berbeza.

Lelaki sering ditanya tentang visi besar syarikat, wanita pula diuji dengan soalan kecil tentang pelaksanaan.

Bagi memastikan perniagaan wanita dapat berkembang setara lelaki, tiga perkara utama boleh diberi perhatian.

1. Sokongan keluarga dan komuniti: Peranan pasangan, keluarga mertua dan komuniti usahawan amat penting. Ramai wanita hanya perlukan telinga yang mendengar atau nasihat daripada rakan usahawan senasib.

2. Pembiayaan inklusif: Institusi kewangan wajar memperkenalkan skim pinjaman mesra wanita, dengan struktur bayaran balik yang fleksibel untuk galakkan mereka ambil langkah berani.

3. Mengubah naratif: Media, pelabur dan masyarakat perlu berhenti memandang bisnes wanita sebagai sekadar hobi. Ia adalah komponen penting dalam ekosistem PKS yang menyumbang lebih 97 peratus daripada syarikat di Malaysia.

Walaupun angka penglibatan semakin tinggi, jika beban penjagaan keluarga, sikap terlalu berhati-hati dan bias jantina tidak ditangani, jurang pertumbuhan ini akan berterusan.

Dalam jangka panjang, negara bukan sahaja rugi dari segi inovasi, tetapi juga membazir potensi bakat wanita yang mampu menggerakkan ekonomi ke tahap lebih tinggi. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram