
TREND hiasan dalaman kini berubah wajah dengan kemunculan generasi Gen Z yang menjadikan rumah mereka sebagai content utama untuk media sosial.
Apa yang dahulu dilihat sebagai keperluan untuk keselesaan semata-mata kini menjadi sebahagian daripada gaya hidup supaya rumah cantik, konten pun menarik.
Fenomena itu turut dirasai pereka hiasan dalaman terkenal Australia, Emma Blomfield yang melihat lonjakan pelanggan muda dalam tempoh dua tahun kebelakangan ini.
Mereka bukan sahaja mahu rumah yang selesa, tetapi rumah boleh dipamerkan di TikTok atau Instagram.
Menariknya, golongan itu bukan hanya terdiri daripada pemilik rumah, malah ramai penyewa sanggup melabur wang untuk mencantikkan kediaman sementara mereka itu.
Bagi mereka, ruang estetik adalah identiti, malah juga cara untuk mengekspresikan personaliti secara digital.
Gen Z menjadikan rumah sebagai latar utama konten media sosial.
Menurut Emma, pelanggan Gen Z lebih selesa menyerahkan keseluruhan proses hiasan dalaman kepada pereka profesional.
Dari memilih warna dinding, perabot sehinggalah kepada tuala tangan di bilik mandi.
Servis syarikatnya bermula sekitar A$10,000 (lebih RM30,000) bergantung kepada saiz rumah dan ada klien yang meminta sehingga susun atur sudu dan garpu ditentukan.
Berbeza dengan generasi Boomer yang biasanya mampu upah pereka dalaman kerana kestabilan kewangan, Gen Z lebih sanggup berbelanja untuk mencipta kediaman Instagrammable.
Malah, ramai menggunakan rumah mereka sebagai pentas visual untuk merakam video masakan, vlog harian atau sekadar berkongsi dekorasi hujung minggu.
Emma mengakui fenomena itu mengejutkan kerana beliau tidak menyangka ramai anak muda mampu melabur sedemikian rupa.
Sebahagian mempunyai warisan keluarga, namun ramai juga terdiri daripada usahawan muda atau individu bujang yang mahu rumah mereka mencerminkan gaya hidup moden.
Trend hiasan dalaman kini dipacu budaya TikTok dan Instagram.
Ledakan kandungan dekorasi di TikTok dengan jutaan tontonan membuatkan hiasan dalaman semakin relevan kepada generasi muda.
Bukan lagi sekadar menunjukkan fesyen pakaian, Gen Z kini bangga memperlihatkan bilik tidur, ruang tamu atau sudut dapur mereka yang tersusun cantik.
Emma percaya itu sebahagiannya berkaitan dengan budaya outsourcing yang sudah sebati dengan generasi ini.
Sama seperti memesan makanan melalui aplikasi, mereka mahu proses menghias rumah juga mudah dan tanpa tekanan.
"Tidak ramai yang tahu cara menghias rumah dengan betul, jadi mereka serahkan kepada pakar," katanya.
Selain itu, menggunakan khidmat pereka dalaman sebenarnya membantu menjimatkan masa dan mengurangkan risiko kesilapan.
Daripada memilih perabot yang sesuai dengan saiz ruang sehinggalah mengatur kerja-kerja pemasangan oleh kontraktor. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram