K-drama Bon Appetit, Your Majesty 'meletop', peminat kagum skil memasak Yoona, rupanya 3 bulan berlatih dengan cef terkemuka Korea


  • Sukses
  • Jumaat, 03 Okt 2025

Yoona menjalani latihan intensif bersama cef Jong Cheol Shin bagi menjayakan wataknya dalam drama Bon Appetit, Your Majesty. — Instagram/@jong_cheol_shin

DRAMA Korea, Bon Appetit, Your Majesty mencetus fenomena apabila peminat memuji kelincahan penyanyi serta pelakon, Yoona di dapur dan mengagumi kemahiran masakannya di kaca televisyen.

Namun, di sebalik kejayaan itu, Yoona atau nama sebenarnya Im Yoon-Ah, 30, sebenarnya menjalani latihan intensif selama tiga bulan bersama cef tersohor Korea, Jong Cheol Shin bagi memastikan wataknya tidak kelihatan kekok.

Jong Cheol Shin bukan nama asing dalam industri kulinari.

BACA LAGI: [VIDEO] 'Nampak macam baby bump', ramai ucap tahniah, titip doa, Dayang Anisha, Putera Mateen bakal timang anak sulung 2026?

BACA LAGI: Walau misi kemanusiaan ancam keselamatan, keberanian luar biasa anak autisme, Greta Thunberg dikagumi dunia

Beliau pernah berkhidmat sebagai cef eksekutif di The Shilla Seoul dan Hotel JW Marriott Seoul, selain mengetuai operasi makanan dan minuman (F&B) di Hotel & Resort HOBAN.

Kini, beliau mengetuai dapur di Hotel The Ambassador Seoul A Pullman

Antara pencapaiannya termasuk mencipta Mango Bingsu ikonik The Shilla Seoul, digelar 'Dewa Bufet' kerana menghasilkan menu bufet bertaraf lima bintang serta kerap muncul dalam program televisyen popular seperti Boss in the Mirror dan Half-Star Hotel in Lost Island.

Menurut beliau, sesi latihan bersama Yoona bermula pada Disember lalu, meliputi teknik memegang pisau, postur badan, gaya potongan, pergerakan tangan, hingga ke butiran kecil ketika memasak.

"Saya tidak pernah bertemu sesiapa seperti beliau sebelum ini. Saya kagum dengan bakatnya dan betapa cepat beliau belajar. Antara semua selebriti pernah saya latih, beliaulah paling mahir," katanya dalam hantaran yang dimuat naik.

Beliau menambah, pihak produksi menyediakan cef professional di set penggambaran sekiranya diperlukan pelakon pengganti.

Namun, hampir semua adegan berjaya dilaksanakan sendiri oleh Yoona.

"Saya percaya beliau boleh berjaya sebagai cef professional jika beliau memilih jalan itu," ujar beliau.

Selain bergelar pelakon, Yoona juga dikenali sebagai penyanyi kumpulan K-pop popular, Girls’ Generation, sering menjadi wajah duta pelbagai jenama ternama dan aktif dalam dunia perfileman.

Menariknya, di sebalik kerjaya seni, beliau sebenarnya cukup mahir baik menyediakan sajian Korea mahupun Barat, menjadikannya lebih menyerlah di hadapan dan belakang kamera.

Bakat memasak Yoona juga bukan hanya untuk drama.

Dalam rancangan Hyori’s Homestay 2, beliau pernah menyediakan hidangan mille-feuille nabe untuk rakan selebriti Taeyeon yang mendapat pujian peminat sebagai menu 'signature dish'-nya.

Malah, di luar set penggambaran, Yoona pernah berkongsi hasil masakan perayaan seperti donggeurangttaeng dan jeon di media sosial yang sekali lagi memperlihatkan kemahirannya dalam menyediakan hidangan tradisional Korea. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram