Kerajaan 'hapus' internet, wanita di Afghanistan hilang masa depan, putus hubungan dunia luar


  • Maya
  • Rabu, 01 Okt 2025

Seorang wanita Afghanistan termenung di rumah, kehilangan harapan selepas Taliban memutuskan sambungan internet, mematikan peluang pendidikan dan pekerjaan. — Agensi

WANITA di Afghanistan kini berdepan dengan masa depan yang semakin gelap apabila kerajaan Taliban memutuskan sambungan internet di seluruh negara, menghapuskan saluran terakhir mereka untuk pendidikan dan peluang pekerjaan.

Fahima Noori (bukan nama sebenar), seorang graduan universiti bercita-cita tinggi yang pernah mempunyai impian besar.

Selepas menamatkan pengajian dalam bidang undang-undang dan kursus perubatan serta bekerja di klinik kesihatan mental, hidupnya berubah apabila Taliban mengambil alih kuasa pada 2021.

BACA LAGI: Lakar by Mekar jadikan dinding sebagai kanvas, mural artistik suntik 'jiwa' pada kediaman

BACA LAGI: Cara Anzalna menilai 'mindset provider' pasangan dipuji, rasa cukup bukan diukur dengan material

Mereka melarang gadis berusia lebih 12 tahun daripada mendapatkan pendidikan, menyekat peluang pekerjaan wanita dan baru-baru ini menghapuskan buku-buku tulisan wanita daripada universiti.

Bagi Fahima, internet adalah harapan terakhirnya untuk terus belajar dan berhubung dengan dunia luar.

"Saya mendaftar di universiti dalam talian dengan harapan untuk menamatkan pengajian dan mendapat kerja dalam talian," kata Fahima.

Namun, pada Selasa lalu, harapan itu musnah apabila Taliban mengenakan pemotongan internet secara menyeluruh tanpa had masa.

Shakiba daripada wilayah utara Takhar, turut berkongsi nasib sama.

"Saya belajar bidang perubatan sebelum ini, tetapi program itu diharamkan untuk wanita. Internet adalah satu-satunya harapan kami untuk terus belajar.

"Apabila internet dipotong, dunia terasa gelap," ujarnya.

Pemotongan internet itu bukan sahaja menjejaskan pelajar wanita, tetapi juga mereka yang bergantung pada internet untuk pendapatan seperti Zabi, seorang guru Bahasa Inggeris.

Beliau terpaksa menjalankan kelas dalam talian selepas pusat pendidikannya ditutup akibat sekatan Taliban.

"Saya mempunyai 70 hingga 80 pelajar, lelaki dan wanita yang bergantung pada internet untuk belajar dan mengambil ujian seperti IELTS (International English Language Testing System)," katanya.

Malangnya, dua hari lalu, 45 pelajarnya gagal menamatkan ujian dalam talian apabila internet terputus.

"Bagi pelajar perempuan saya, ini adalah peluang terakhir mereka dan kini ia telah lenyap."

Selain pendidikan, pemotongan internet turut melumpuhkan perkhidmatan penting di Afghanistan.

Agensi berita antarabangsa kehilangan hubungan dengan pejabat mereka di Kabul, manakala perkhidmatan internet mudah alih dan saluran satelit turut terganggu.

Lapangan terbang Kabul juga dilaporkan mengalami gangguan penerbangan.

Bagi ramai wanita seperti Fahima dan adik-beradiknya, internet adalah saluran untuk kekal berhubung dengan dunia, mempelajari kemahiran baharu dan menyokong keluarga mereka.

"Kami bermimpi untuk menamatkan pendidikan dan membantu bapa kami dari segi kewangan, tetapi kini kami hanya duduk di rumah tanpa apa-apa," kata Fahima.

Kos data mudah alih kini menjadi satu-satunya alternatif, terlalu mahal bagi kebanyakan rakyat Afghanistan.

Satu pelan data 100GB berharga sekitar 3,500 Afghani (kira-kira RM210), jauh lebih tinggi berbanding kos Wi-Fi sebelum ini yang hanya 1,000 Afghani sebulan.

Dengan pendapatan per kapita tahunan di Afghanistan sekitar RM1,300 pada 2024, ramai yang tidak mampu membayar kos tersebut.

Seorang penukar wang, Anas di Takhar, berkata, perniagaannya lumpuh sebanyak 90 peratus akibat pemotongan internet.

"Semalam, abang saya cuba menghantar e-mel kepada pelanggan, tetapi gagal," katanya.

Namun, kebimbangan terbesarnya adalah untuk tiga anak perempuannya yang kini kehilangan akses kepada kelas dalam talian.

"Melihat anak-anak saya begitu terdesak adalah perkara yang paling sukar. Hanya Tuhan tahu apa yang akan berlaku kepada mereka."

Taliban belum memberikan sebab rasmi untuk pemotongan internet itu, walaupun sebelum ini mereka berkata,sedang mencari laluan alternatif untuk akses internet tanpa butiran lanjut. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram