
SEORANG wanita yang juga ibu tunggal meluahkan dilemanya yang sedang mempertimbangkan untuk berkahwin semula dengan lelaki yang disifatkan memiliki akhlak baik, beragama serta sanggup menerima anak-anaknya, namun kurang dari segi rupa paras.
Menerusi satu hantaran di media sosial, wanita itu menyatakan bahawa calon suami baharunya dilihat menepati hampir semua ciri yang diharapkan, kecuali penampilan fizikal.
"Saya nak tanya kepada ibu tunggal di luar sana. Kalau kita jumpa lelaki yang baik agamanya, baik keluarganya, boleh terima anak-anak kita dengan hati terbuka, rajin, mampu menjadi penyara, ada sifat pemimpin, tapi satu sahaja dia kurang, rupa paras.
"Dia pun sedar dia tidak ada rupa, sebab itu dia cari isteri cantik untuk dapat baka yang cantik," tulis @rahsialamana di akaun Threads miliknya pada Rabu.
Beliau turut mengakui, meskipun tertarik dengan sifat baik lelaki berkenaan, perasaan risau tetap wujud kerana bimbang rupa paras anak-anak hasil perkahwinan baharu akan dibandingkan dengan bekas suami serta anak-anak sedia ada.
"Bekas suami sebelum ini memang rupa 8/10, saya sendiri pun 8/10. Anak-anak yang ada pun memang kacak dan comel sangat.
Isu berkenaan mencetuskan pelbagai komen warga maya. Ada yang berpendapat penampilan boleh diperbaiki.
"Mungkin boleh minta dia ubah gaya rambut. Kalau pakai cermin mata, cuba pakai kanta lekap. Kalau muka berjerawat boleh pergi rawatan wajah.
"Sama macam perempuan, kalau bersolek memang nampak cantik. Lelaki pun boleh lakukan perkara sama," kata @emynnur.
Namun, ada juga yang mengingatkan supaya tidak membuat keputusan terburu-buru.
"Dia baik hari ini, tapi tak tentu selamanya. Kalau nanti awak terasa dengan perangainya, tambahan rupa pun tidak menarik, apa lagi yang boleh awak sandarkan?
"Nampak macam rupa pun penting untuk awak, jadi lebih baik jangan. Tambahan pula ini perkahwinan kedua," kata @fatenfadaaq.
Seorang lagi pengguna media sosial pula menasihatkan agar wanita tersebut mendengar gerak hatinya.
"Kalau rupa buat awak rasa was-was, lebih baik jangan teruskan. Takut nanti jadi tidak ikhlas. Kalau betul seseorang itu bertakhta di hati, muka macam mana pun kita boleh terima.
"Bila tengok pun menyenangkan hati dan jiwa. Tapi kalau masih ragu, sebenarnya hati awak bukan untuk dia. Jangan paksa diri, kesian pada dua pihak nanti," kata @aynzz_. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram