MENJADI seorang pejuang TTC (Trying to Conceive) bukanlah perjalanan yang mudah.
Setiap doa, ikhtiar, air mata serta detik menanti penuh harapan sering menguji hati seorang wanita.
Bagi pempengaruh yang terkenal dengan video review makanan, Nor Atierah Zulfatie Zulkiffli, hampir enam tahun penantian panjang akhirnya terubat dengan berita yang tidak pernah dia jangka.
Di dalam jangka masa enam tahun itu juga, emosi beliau sering tercalar dek komen-komen netizen berkaitan berat badannya yang konon menjadi penyebab sukar hamil.
BACA LAGI: Lakar by Mekar jadikan dinding sebagai kanvas, mural artistik suntik 'jiwa' pada kediaman
BACA LAGI: Cara Anzalna menilai 'mindset provider' pasangan dipuji, rasa cukup bukan diukur dengan material
Penantian penuh sabar itu kini bertukar menjadi syukur yang tiada terhingga.
Atierah berkongsi bahawa selama bertahun-tahun dia tidak pernah merasai pengalaman melihat dua garisan pada alat ujian kehamilan.
Hatinya pernah sampai ke tahap redha, menerima bahawa mungkin rezeki itu belum tertulis.
Namun, usaha yang tidak pernah padam membawanya kepada langkah menjaga pemakanan dan mengubah gaya hidup.
Selepas setahun berikhtiar melalui diet sihat, doa yang dipanjatkan akhirnya dimakbulkan ALLAH dengan hadirnya berita kehamilan yang sangat dinanti.
Lebih manis, momen berharga itu diserikan dengan kejutan buat suami tercinta.
Dalam video yang dikongsikan, jelas terpancar rasa terharu suaminya seolah-olah masih tidak percaya mereka bakal menyambut cahaya mata.
Kini, Atierah sudah memasuki trimester kedua, membawa doa agar dirinya dan bayi dalam kandungan terus dikurniakan kesihatan serta dipermudahkan urusan hingga saat kelahiran tiba.
Perkongsian tersebut segera mendapat perhatian ramai di Threads.
Rata-rata pengikut menitipkan ucapan tahniah dan doa, malah ada yang turut sebak kerana turut merasai perjalanan panjang Atierah.
Ramai juga pejuang TTC lain yang menjadikan kisah itu sebagai sumber kekuatan, mengingatkan mereka bahawa rezeki hadir dengan cara yang tidak terduga.
Ada yang menulis bahawa mereka kembali bersemangat untuk berusaha, manakala sebahagian lain menitip doa agar perjalanan Atierah dipermudahkan hingga selamat melahirkan.
Perjalanan enam tahun yang penuh liku kini menjadi memori indah buat Atierah dan suami.
Hadiah terindah berupa zuriat akhirnya tiba sebagai penyeri rumah tangga, bukti bahawa doa yang tidak pernah putus pasti didengar. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
