Ibu iri hati anak sendiri, halang berkahwin walau usia 30-an, padahal si anak gigih tanggung adik-beradik, bapa tiri


  • Bonda
  • Ahad, 28 Sep 2025

Seorang wanita berasa sedih apabila ibunya sering tidak berpuas hati dengannya, meskipun segala perbelanjaan keluarga telah ditanggung olehnya.

TIDAK semua anak yang berkorban untuk keluarga menerima penghargaan sewajarnya.

Sebaliknya, ada juga yang berdepan layanan berbeza hingga membuatkan mereka tertekan dan hilang kebahagiaan.

Itulah yang dikongsikan seorang pengguna Facebook, Ummi Nadhira Afzan mengenai nasib seorang sahabatnya yang didakwa tidak dibenarkan berkahwin oleh ibu sendiri walaupun sudah mencecah usia 30-an. 

Alasannya, wanita itu perlu menjaga adik bongsu meskipun sudah berkorban banyak sejak adiknya berada di universiti hingga kini tamat pengajian.

Lebih menyedihkan, setiap kali sahabatnya ingin memperkenalkan calon suami, dia dimarahi, malah diugut akan dilabel sebagai anak derhaka jika melawan. 

“Saya nampak kawan saya ni dah tahap give up dan kemurungan. Padahal dia seorang bijak pandai, wanita bekerjaya, mungkin sebab dia dah biasa jadi provider dalam famili dia,” kata Ummi.

BACA LAGI: Selepas 2 tahun menyulam cinta, Selena Gomez dan Benny Blanco akhirnya disatukan

BACA LAGI: Isteri lulusan PhD, suami hanya SPM, pasangan kongsi 'resipi' bahagia walau beza pendidikan

Menurutnya, meskipun sahabatnya itu bijak dan berdikari, dia sering dibandingkan dengan sepupu yang menjadi anak saudara kegemaran ibunya. 

“Kalau kawan saya naik pangkat pun mak dia reaksi lain macam, tak raikan. Selepas itu bandingkan pula dengan anak saudara lain yang cantik, kurus dan kaki panjang,” katanya lagi.

Kisah yang diceritakan Ummi itu mengundang simpati ramai kerana wanita berkenaan bukan sahaja menanggung ibunya, malah berusaha membiayai adik lelaki yang sudah dewasa tetapi memilih untuk tidak bekerja.

Tidak hanya itu, keperluan ibu dan bapa tirinya seperti kos kenderaan juga dibayarnya.

“Dia kata, bapa tiri dia baik dan sudah bergaji lebih RM3000, tetapi dia tetap perlu menghulur wang untuk kenderaan selepas diberi tekanan oleh ibunya sendiri. 

"Paling sedih, lelaki yang mahukan dia masih menunggu. Tapi mak dia tetap halang,” kongsi Ummi.

Tambahnya, sejak kecil rakannya itu sudah kerap dibandingkan dengan saudara-mara lain kerana paras rupa. 

Kritikan berterusan menyebabkan wanita itu obses membeli produk pemutih kulit, walaupun hakikatnya dia tidak gelap atau gemuk seperti digambarkan ibunya.

Kisah tersebut menerima pelbagai reaksi wargamaya yang bersimpati dengan nasib wanita itu.

“Kesian kawan awak tu, dia berhak bahagia. Baik buruk rupa, ALLAH yang jadikan. Buat sahaja hal sendiri, jangan tunggu lagi orang tua begitu,” tulis seorang pengguna, Roselina Abdul Aziz.

Sementara itu, Wani pula menasihatkan supaya wanita berkenaan menjaga jarak dengan keluarganya buat sementara.

“Bagilah duit sekadar cukup-cukup saja, lain-lain biar bapak tiri yang usahakan. Menyirap tengok, anak nak bina keluarga pun kena tahan,” ujarnya.

Seorang lagi, Syalwani Nazir berkongsi pengalaman berbeza apabila ibu bapanya seboleh mungkin tidak mahu menyusahkan anak-anak. 

“Saya pulak jauh, nak sangat-sangat depa duduk dengan saya. Semoga suami saya dapat posting utara, Aminnn,” katanya.  — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram