Belum kering air mata, ibu mentua minta tinggalkan rumah, inilah 5 realiti kesengsaraan isteri selepas kematian suami


  • Cinta
  • Isnin, 29 Sep 2025

Seorang wanita tergamam membaca mesej daripada ibu mentuanya yang meminta untuk meninggalkan rumah yang diduduki bersama pasangan sejak awal perkahwinan. — Gambar Hiasan

BARU sahaja menanggung pilu kehilangan suami tercinta, seorang wanita terpaksa berdepan pula dengan dugaan baharu apabila diminta meninggalkan rumah yang diduduki bersama pasangannya sejak awal perkahwinan.

Dalam perkongsian di Facebook, Nur Asyiqin mendedahkan kisah sahabatnya yang menerima mesej daripada ibu mentua hanya beberapa hari selepas selesai pengebumian arwah suaminya.

Dalam pesanan itu, ibu mentuanya meminta dia keluar dari rumah sementara menunggu urusan faraid selesai.

“Mak rasa, lebih baik kamu keluar dulu dari rumah ni sementara Amanah Raya nak selesaikan semua pembahagian harta.

"Kamu kena faham, faraid bukan perkara main-main. Tinggalkan dompet, kunci kereta arwah. Jangan biar arwah terbeban di sana,” kata ibu mentuanya dalam mesej itu.

BACA LAGI: Selepas 2 tahun menyulam cinta, Selena Gomez dan Benny Blanco akhirnya disatukan

BACA LAGI: Isteri lulusan PhD, suami hanya SPM, pasangan kongsi 'resipi' bahagia walau beza pendidikan

Nur Asyiqin berkata, sahabatnya itu terkesan hebat kerana tidak menyangka hubungan erat dengan ibu mentua menjadi renggang hanya kerana isu harta pusaka.

Lebih menyedihkan, wanita tersebut kini sedang sarat mengandung, selain perlu membesarkan dua orang anak kecil tanpa sebarang punca pendapatan tetap kerana bergelar suri rumah sepenuh masa.

“Ibarat sudah jatuh ditimpa tangga. Luka kehilangan suami belum sembuh, kini terpaksa fikir nasib anak-anak pula,” tulisnya.

Menurutnya, realiti pembahagian faraid sering kali menimbulkan konflik keluarga. 

Nur Asyiqin berkata, kebiasaannya, hanya satu sahaja daripada 10 keluarga yang tidak berdepan masalah ketika menguruskan harta pusaka.

Walhal, hukum faraid itu sendiri cukup indah kerana mengangkat tanggungjawab lelaki sebagai ketua keluarga.

Namun, di sebalik keadilan hukum, masih ramai waris lebih mengejar bahagian harta berbanding memikul amanah menjaga ahli keluarga yang ditinggalkan.

Lima bentuk sengsara isteri selepas kematian suami

1. Akaun Bank Dibekukan

Semua wang simpanan arwah dalam bank tidak boleh disentuh walaupun isteri tahu nombor PIN kad ATM. 

Hanya selepas proses faraid selesai barulah ia boleh digunakan.

3. KWSP bukan milik mutlak

Nama isteri sebagai penama bukan bermaksud dia pewaris mutlak.  Penama hanyalah wasi (pentadbir) untuk menguruskan wang tersebut. 

Bahagian faraid yang layak diterima isteri hanyalah 1/8 sahaja.

Namun, isteri boleh membuat tuntutan nafkah yang belum ditunaikan sepanjang tempoh perkahwinan seperti makan, pakaian, tempat tinggal, perubatan.

Tuntutan ini termasuk dalam kategori hutang arwah dan wajib diselesaikan sebelum pembahagian faraid dibuat.

4. Hidup dalam ‘survival mode

Proses faraid biasanya mengambil masa sekurang-kurangnya enam bulan jika semua waris sepakat. 

Jika tidak, ia boleh berlarutan bertahun-tahun. Dalam tempoh ini, isteri tetap perlu mencari wang untuk kelangsungan hidup bersama anak-anak.

5. Kos urusan ditanggung sendiri

Dari kos guaman, pengangkutan hinggalah bayaran pengurusan harta, kebanyakannya terpaksa ditanggung isteri. 

Kebanyakan waris lain hanya menunggu bahagian mereka tanpa mahu menghulurkan bantuan kos.

6. Rumah terpaksa ditebus

Rumah atau harta yang dibina bersama suami tetap tertakluk kepada faraid. 

Jika isteri tidak mampu menebus bahagian waris lain, rumah penuh kenangan itu mungkin terpaksa dijual. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram